Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad malam tadi mengelak langkah untuk mendapatkan pembebasan mantan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui gerakan Deklarasi Rakyat.

Bercakap pada forum Pakatan Harapan di Shah Alam mengenai laporan PAC terhadap 1MDB, Mahathir berkata permintaan untuk membebaskan Anwar hanya akan memecahkan gerakan itu.

"Kalau nak buat keputusan tentang Anwar ini (atau) itu, kita akan berpecah.

"Kita mesti bersatu untuk satu tujuan sahaja. Dalam perjuangan apapun, kurangkan musuh, tambah kawan," katanya kepada hampir seribu hadirin.

"Kita mesti ada pemikiran waras berdasarkan pertimbangan bijak. Kalau kita ikut hawa nafsu, percayalah, kita tidak akan berjaya," katanya.

Turut menjadi panel ialah pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang, Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua, Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli, Ketua Penerangan AMANAH Khalid Samad dan Pengarah Eksekutif pemantau anti rasuah- C4, Cynthia Gabriel.

Semasa sesi soal jawab, seorang penyokong Anwar bangun dan menuntut Mahathir menggesa untuk membebaskan Anwar dari penjara Sungai Buloh.

Beliau juga meminta Mahathir mengisytiharkan bahawa apa yang bekas perdana menteri itu telah lakukan kepada Anwar pada tahun 1998 adalah salah.

Isnin lalu, Mahathir dipetik dalam temu bual dengan The Australian sebagai berkata bahawa beliau percaya Anwar kini terlalu tua untuk menjadi perdana menteri.

Beliau juga mengekalkan keputusannya untuk memecat bekas timbalannya itu pada tahun 1998, dengan mengatakan Anwar sebagai "tidak bermoral".

Mahathir, sementara itu, mengulangi pendirian bahawa tidak akan ada pembaharuan atau perubahan boleh dilakukan semasa Najib kekal sebagai perdana menteri.

Seorang lagi lelaki dalam kalangan hadirin memetik kata-kata Mahathir sendiri bahawa "Umno kini busuk hingga ke usus" dan oleh itu beliau berkata mana-mana perdana menteri Umno akan sama-sama buruk.

Beliau berkata, oleh itu Mahathir perlu menyingkirkan bukan sahaja Najib tetapi keseluruhan pentadbiran Barisan Nasional.

Lihat Komen
ADS