Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
KSN: Penjawat awam diberi pilihan terima atau tolak skim baru
Diterbitkan:  Apr 15, 2016 6:52 AM
Dikemaskini: Apr 15, 2016 3:32 AM

Penjawat awam diberi pilihan untuk menerima atau menolak tawaran terhadap 252 skim perkhidmatan awam yang ditambah baik berkuat kuasa 1 Julai ini, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa.

Beliau yang mengulas rasionalisasi skim perkhidmatan awam itu berkata penambahbaikan itu akan memberi kesan kepada kenaikan gaji dan gred termasuk gaji permulaan minima sebanyak RM1,200 dalam sektor awam.

"Namun saya tidak nampak sebarang sebab untuk mereka menolaknya," kata beliau kepada media selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan reka cipta logo 'My High Speed Rail' (MyHSR) di Putrajaya semalam.

Penambahbaikan itu akan memperlihatkan kenaikan tahunan kepada kesemua 1.6 juta penjawat awam, manakala penambahbaikan skim yang bermula dari gred 11 hingga 40 akan membabitkan 1.3 juta kakitangan kerajaan, katanya.

"Ini satu berita terbaik untuk penjawat awam dan berharap mereka akan meningkatkan produktiviti dan daya usaha dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat," katanya.

Katanya walaupun hasil negara pada tahun ini berkurangan disebabkan faktor seperti penurunan harga minyak dunia, kerajaan tetap menunaikan janjinya untuk memberi kenaikan gaji seperti yang diumumkan dalam Bajet 2016, sebelum ini.

Mengenai permintaan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) agar kerajaan mengkaji semula kadar gaji yang ditawarkan supaya selaras dengan keperluan hidup penjawat awam, Ali menyifatkan ia permintaan yang menarik.

"Namun, kita juga mengharapkan Cuepacs turut sama memberi idea bagaimana untuk meningkatkan hasil negara di samping menggalakkan penjawat awam meningkatkan produktiviti mereka... itu yang sangat penting," katanya.

Menurut Pekeliling Perkhidmatan Awam, sebanyak 252 skim perkhidmatan awam di bawah Sistem Saraan Malaysia ditambah baik berkuat kuasa 1 Julai ini.

Penambahbaikan skim perkhidmatan itu yang membabitkan 1.6 juta penjawat awam dibuat berikutan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Bajet 2016.

Antara penambahbaikan itu ialah faedah pemindahan gaji penjawat awam bersamaan dengan satu kenaikan gaji tahunan mengikut gred mulai 1 Julai ini, menurut Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2006 Rasionalisasi Skim Perkhidmatan Bagi Perkhidmatan Awam Persekutuan Di Bawah Sistem Saraan Malaysia yang dimuat naik dalam laman sesawang Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di www.jpa.gov.my.

Pekeliling itu turut memaklumkan penambahan lapisan gred kenaikan pangkat bagi skim perkhidmatan Kumpulan Pelaksana dan Kumpulan Pengurusan dan Profesional bermula Gred 11 hingga 54, dengan gaji permulaan terendah Perkhidmatan Awam yang baru sebanyak RM1,200 sebulan.

Selain itu, terdapat penambahan Lapisan Gred Kenaikan Pangkat Bagi Skim Perkhidmatan Berkelayakan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3)/PMR yang mempunyai dua lapisan gred iaitu Gred 11 dan Gred 14 kini ditambah dua lagi lapisan gred baharu iaitu Gred 16 dan Gred 18.

Bagi skim perkhidmatan berkelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mempunyai dua lapisan gred, iaitu Gred 17 dan Gred 22 ditambah dua lagi lapisan gred, iaitu Gred 26 dan Gred 28.

Bagi penambahan Lapisan Gred Kenaikan Pangkat Bagi Skim Perkhidmatan Berkelayakan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Diploma pula terdapat tambahan dua lapisan gred baharu, bagi STPM Gred 27 dan Gred 32, dan diploma pula ditambah lapisan Gred 36 dan Gred 40.

Bagi Skim Perkhidmatan Berkelayakan Ijazah yang mempunyai dua lapisan gred iaitu Gred 41 dan Gred 44 ditambah tiga lapisan baharu sehingga Gred 54.

Di bawah penambahbaikan itu, kerajaan memutuskan supaya Gred 17 dan Gred 19 diseragamkan kepada Gred 19, manakala Gred 27 dan Gred 29 diseragamkan kepada Gred 29.

Menurut pekeliling itu, pemberian faedah pemindahan gaji bersamaan amaun satu kenaikan gaji tahunan (KGT) layak diterima oleh pegawai bertaraf tetap, sementara dan kontrak yang dilantik dan sedang berkhidmat pada 1 Julai ini di bawah skim SSM, SSB dan Laporan Gaji JKK 1976 mengikut kadar kenaikan gaji tahunan gred jawatan asal.

Rasionalisasi skim perkhidmatan ini tidak melibatkan sebarang perubahan elaun dan kemudahan mengikut pekeliling perkhidmatan/surat pekeliling perkhidmatan/surat edaran/surat pelaksanaan yang berkuat kuasa.

Bagaimanapun, penetapan kadar elaun dan kemudahan berkenaan adalah tertakluk kepada gred jawatan baharu pegawai, menurut pekeliling berkenaan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS