Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapha Mohamed menarik balik saman fitnah terhadap bekas naib presiden PAS Datuk Husam Musa.

Langkah itu dibuat selepas Husam menafikan kesahihan laporan Harakahdaily yang memetik beliau dalam sebuah laporan.

Husam, yang kini kritikal terhadap kepimpinan pusat PAS, malah menyatakan kekesalannya terhadap akhbar web PAS itu.

“Saya tidak pernah mengatakan perkataan-perkataan yang menjadi asas kes fitnah ini yang diterbitkan dalam Harakahdaily bertarikh 24.03.2013 di bawah tajuk 'Lahad Datu: Menteri sepatutnya letak jawatan'.

“Saya tidak pernah menuduh pihak plaintif seperti yang dinyatakan dalam penerbitan tersebut yang berunsur fitnah dari maksudnya.

“Oleh kerana nama saya disabitkan sebagai orang yang mula dikaitkan membuat tuduhan yang sedemikian terhadap plaintif, saya berasa kesal dengan kejadian penerbitan tersebut kerana telah salah memetik apa yang kononnya perkataan-perkataan saya, yang menyebabkan kesulitan kepada saya dan plaintif,” kata Husam.

Kenyataan itu direkodkan di mahkamah terbuka hari ini.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Nor Bee Ariffin membatalkan saman itu tanpa arahan kos.

Mustapa Mohamed diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah manakala Husam pula diwakili Ahmad Termizi dan Mohd Fitri Aris.

Sebelum ini, dilaporkan Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali dan Harakah sudah meminta maaf kepada Mustapa Mohamed berhubung perkara sama.

Mustapa Mohamed menamakan Husam, Mustafa Ali, bekas ketua pengarang dan pengarang Harakahdaily Zulkifli Sulong dan Azmi Yusof sebagai defendan.

Mustapa Mohamed, pengerusi Umno Kelantan dan anggota parlimen Jeli, mendakwa Husam memfitnahnya dalam ceramah di Machang pada 23 Mac 2013.

Menteri itu mendakwa kenyataan terhadapnya dalam Harakahdaily menggambarkan beliau seorang pemimpin dan ahli politik korup, tiada kewibawaan dan menyalah guna kuasa.

[Baca berita asal]