PKR mendesak kerajaan supaya mewujudkan mekanisme bayaran tetap kepada penoreh getah sebanyak RM1200 sebulan seperti yang dicadangkan oleh Kesatuan Kebangsaan Ladang (NUPW).

Naib presidennya Nurul Izzah Anwar berkata, mekanisme ini perlu diwujudkan bagi membantu penoreh getah untuk mendapatkan pendapatan minimum walaupun dalam keadaan pengeluaran getah yang merudum.

Menurutnya, pada masa ini penoreh getah hanya memperoleh sekitar RM400 hingga RM500 sebulan hasil daripada getah yang dijual, sekaligus menjadikan sumber pendapatan itu di bawah paras gaji minimum negara.

"PKR menerusi jawatankuasa yang mempertahan nasib pekebun dan petani kecil menuntut mekanisme jangka panjang yang lebih berkesan dalam menangani isu yang melibatkan getah di Malaysia.

"PKR akan mengusulkan agar wujud mekanisme bayaran tetap kepada penoreh getah minimum RM1200 sebulan seperti yang dicadangkan oleh NUPW supaya dapat menjamin pengeluaran hasil getah yang lebih baik pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media Jelajah Demi Rakyat, Demi Penoreh, Selamatkan Malaysia di Ibu Pejabat PKR hari ini.

Sidang itu turut disertai bersama Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin, MP Kuala Kedah Dr Azman Ismail dan Ahli MPP PKR Dr Syed Husin Ali.

Sementara itu, Nurul Izzah yang juga MP Lembah Pantai turut mendesak supaya pihak Lembaga Getah Malaysia bekerjasama dengan pihak agensi RISDA dan Persatuan Pekebun Kecil Getah bagi mengeluarkan satu kaedah penentuan harga baru bagi Kandungan Getah Kering (KGK) yang berpihak kepada penoreh getah dan pekebun kecil.

Jelajah #DemiPenoreh

Ia kerana, Insentif Pengeluaran Getah (IPG) yang diperkenalkan oleh kerajaan melalui peruntukan bajet 2016 sebanyak RM 200 juta tidak membantu penoreh getah mendapat sumber pendapatan yang berpatutan.

"IPG hanya menetapkan 0.40 sen sekilogram bagi mendokong ekonomi semasa penoreh getah dan mengekalkan pengeluaran kualiti SMR-20.

"Tambahan pula, ramai penoreh getah yang masih belum menerima insentif tersebut. Sehingga tahun lepas, hanya RM12 juta dibayar kepada penoreh walaupun bajet 2016 memperuntukkan sebanyak RM 200 juta.

"PKR juga mendapat aduan bahawa skim ini memerlukan masa lebih 30 hari daripada tarikh permohonan dan tempoh 14 hari sementara menunggu wang insentif dikreditkan ke dalam akaun," katanya lagi.

Justeru oleh kerana penoreh getah adalah kelompok yang paling terkesan dalam senario kejatuhan harga getah di pasaran, PKR akan mengadakan satu Program Jelajah #DemiPenoreh di Kedah pada 17 dan 18 April ini.

Jelajah ini akan berlangsung di Padang Terap, Kubang Pasu, Pendang, Jerai, Bukit Selambau, Baling, Sik, Padang Serai dan Kulim.

Dalam program ini juga, sebanyak 500 penoreh akan diberikan bantuan barangan dapur di samping mendapatkan data dan maklumat yang lebih terperinci bagi mencari jalan penyelesaian penoreh getah di seluruh negara.