Pahang negeri kedua laksana program 1Masjid 1Polis
Pahang menjadi negeri kedua melaksanakan Program 1Masjid 1Polis selepas Terengganu, dalam usaha mewujudkan hubungan akrab antara pihak polis dengan kariah masjid bagi membanteras jenayah.
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Sharifuddin Ab Ghani berkata untuk permulaan, 572 pegawai dan anggota polis dilantik sebagai pegawai perhubungan masjid di masjid seluruh negeri ini.
"Semua mereka diwajibkan berjumpa serta berbincang dengan imam atau anggota jawatankuasa (AJK) masjid bagi mendapatkan maklum balas terhadap keselamatan masjid, menghadiri mesyuarat dan bertindak sebagai penasihat dalam aspek keselamatan.
"Pegawai yang dilantik juga bertanggungjawab bermesyuarat dengan AJK masjid bagi mengenal pasti, merancang dan melaksanakan pendekatan sesuai untuk komuniti Islam setempat," katanya selepas merasmikan program itu di Masjid Khariah Kampung Cherating di Kuantan hari ini
Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang Datuk Mohamad Noor Abdul Rani.
Sharifuddin berkata pelaksanaan program itu juga selari dengan arahan awal tahun ini, supaya semua anggota polis beragama Islam dari Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) singgah di masjid berhampiran kawasan rondaan untuk berjemaah apabila masuk waktu solat.
Katanya, selain memudahkan anggota polis menunaikan kewajipan agama, ia juga secara tidak langsung membantu menimbulkan perasaan selamat dalam kalangan jemaah selain dapat mengurangkan kadar jenayah di rumah ibadat.
"Bagi tempoh Januari hingga Mac lalu, sebanyak 14 kes direkodkan di rumah ibadat melibatkan dua kes curi motosikal, curi kereta (dua kes) dan 10 kes kecurian yang lain.
Manakala statistik tahun lalu menunjukkan sebanyak 108 kes jenayah dilaporkan berlaku di rumah-rumah ibadat di seluruh Pahang, iaitu 69 kes curi motosikal, curi kereta (4 kes) dan lain-lain kecurian (35 kes)," katanya.
Sehubungan itu, Sharifuddin menasihatkan mereka yang memasuki rumah ibadat untuk tidak meletakkan barang berharga di dalam kereta, mengunci dan meletakkan tabung milik rumah ibadat di kawasan yang selamat serta memastikan rumah ibadat dilengkapi dengan sistem pencahayaan yang baik.
- Bernama

