Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Rata-rata pengunjung bukan Islam yang hadir dalam majlis syarahan penceramah kontroversi Dr Zakir Naik adalah kerana mahu mendalami Islam sebelum memeluk agama itu.

Menurut seorang pelajar beragama Buddha yang mahu dikenali sebagai 'Qalesya' berkata, beliau mula mendalami Islam sejak berusia 16 tahun.

Tamat sahaja SPM, beliau masuk kesebuah pusat pengajian di Nilai dan dalam masa yang sama turut mengikut kelas mingguan bagi mendalami Islam di Masjid Jamek, Kuala Lumpur.

"Rakan-rakan Islam saya yang mengajak saya ke majlis ini bersama mereka.

"Saya berminat dengan Islam, saya percaya hanya ada satu Tuhan dan yang saya tahu agama lain ada banyak Tuhan," katanya kepada Malaysiakini.

Katanya, beliau berharap agar Zakir dapat memberikan lebih pendedahan kepadanya mengenai Islam.

Sementara itu seorang wanita yang ingin dikenali sebagai Vivian berkata, beliau hadir ke syarahan Zakir bagi mendengar sendiri dan menambah ilmu mengenai Islam.

"Saya hadir untuk tambah ilmu saya mengenai Islam.

"Saya sudah lama berminat dengan Islam. Rakan-rakan Islam saya sering menerangkan salah anggap saya mengenai Islam," kata wanita berusia 26 tahun itu.

Bagi wanita warga Vietnam, An En beliau mula mendapat pendedahan tentang Islam sejak bekerja di Malaysia lima bulan lalu.

"Saya dari Vietnam di mana komuniti di kampung saya tidak begitu terdedah dengan Islam.

"Saya sangat beruntung dapat dua rakan serumah beragama Islam," katanya.

Jelas wanita berusia 30 tahun itu lagi beliau turut mengikuti kelas Agama di Masjid Jamek.

"Saya hadir ke syarahan ini bersama-sama rakan sukarelawan dari tempat saya belajar Islam di Masjid Jamek.

"Saya nak dengar sendiri dari Dr Zakir apa itu Islam berbanding hanya baca melalui buku," katanya yang bekerja di pusat agensi pelancongan.

Dalam ceramah Zakir yang berlangsung selama lima jam di Stadium Hoki Bukit Jalil malam tadi, empat individu mengiytiharkan pengislaman mereka.

Keempat-empat saudara baru itu mengucapkan dua kalimah syahadah ketika sesi soal jawab.

Lebih 35,000 hadir bagi mendengar ceramah Dr Zakir yang juga Tokoh Maal Hijrah pada 2013 meskipun hujan turun lebat pada awalnya.

Bagaimanapun kemunculan Dr Zakir pada jam 8.45 malam disambut dengan tepukan gemuruh pengunjung yang hadir.

Sejak tiba di negara ini pada 9 April lepas, ini merupakan ceramah pertama tokoh pendakwah terkenal itu di Kuala Lumpur selepas mengadakan ceramah di Terengganu.

Beliau dijangka berada di Melaka esok bagi meneruskan jelajah ceramahnya di Malaysia.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS