Kes bunuh Canny: Ahmad Najib dihukum mati
Bekas penyelia pencuci kabin kapal terbang Ahmad Najib Aris dihukum gantung sampai mati setelah didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi terhadap tuduhan membunuh penganalisis IT, Canny Ong Lay Kian pada bulan Jun 2003.
Bekas penyelia pencuci kabin kapal terbang Ahmad Najib Aris dihukum gantung sampai mati setelah didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi terhadap tuduhan membunuh penganalisis IT, Canny Ong Lay Kian pada bulan Jun 2003.
Hakim Datuk Muhamad Ideres Muhamad Rapee juga mendapati Ahmad Najib, 29, bersalah merogol Ong, 28, dan menjatuhkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta 10 sebatan.
Beliau memerintahkan Ahmad Najib menjalani hukuman penjara itu mulai tarikh dia ditangkap pada 20 Jun 2003.
Dalam penghakimannya, Muhamad Ideres berkata pihak pendakwa telah membuktikan kes prima facie untuk kedua-dua tuduhan terhadap Ahmad Najib itu.
Menurut laporan Bernama , Ahmad Najib yang berada di kandang tertuduh kelihatan tenang ketika Muhamad Ideres mengumumkan keputusannya.
Sebelum hakim menjatuhkan hukuman, mulut Ahmad Najib kelihatan terkumat-kamit.
Ujian
"Apa yang hakim putuskan itulah keputusan. Saya anggap semua ini ujian, ujian itu adalah satu cabaran. Ujian bagi saya adalah untuk menguji kesabaran manusia. Saya tidak ada rasa takut (untuk mati), saya rasa biasa. Ada masa kita boleh jumpa, kita jumpa lagi. Memang saya telah jangkakan," katanya.
Ahmad Najib didapati bersalah melakukan kedua-dua kesalahan itu di KM 11.2, Jalan Klang Lama, antara 1 pagi dan 5 pagi pada 14 Jun 2003.
Menurut keterangan yang dikemukakan dalam perbicaraan kes itu, mayat Ong dijumpai dalam keadaan hangus di dalam sebuah lubang pembetungan seluas 1x1x1 meter dengan kedua-dua tangannya bersilang di atas dada dan kakinya terjuntai keluar dari lubang itu.
Mayatnya dijumpai tertanam di bawah dua tayar berisi simen dalam lubang pembetungan itu empat hari selepas dia diculik dari tempat meletak kereta Kompleks Membeli-belah Bangsar (BSC).
Perbicaraan itu yang menggemparkan negara dengan kisah mengenai penculikan, rogol, bunuh dan akhirnya pembuangan mayat ke dalam lubang pembetungan, lalu dibakar itu, berlangsung selama 46 hari dengan pihak pendakwa memanggil 44 saksi termasuk ibu bapa Ong.
Pada akhir kes pendakwa, hakim memerintahkan Ahmad Najib supaya membela diri terhadap kedua-dua tuduhan itu tetapi dia (Ahmad Najib) mengejutkan semua pihak dengan memilih untuk berdiam diri.
Mati akibat dijerut
Hakim memutuskan Ong mati akibat dijerut oleh penyerangnya memandangkan kedua-dua tangan mangsa telah diikat selain turut berpuas hati bahawa persetubuhan yang berlaku adalah tanpa kerelaan Ong.
Katanya, keterangan ahli kimia menunjukkan beliau telah mengesan air mani pada palitan faraj yang diambil dari mayat Ong dan disahkan melalui ujian DNA ianya datang dari Ahmad Najib.
Muhamad Ideres berkata dalam kenyataannya kepada majistret, Ahmad Najib mengaku dia telah mengajak Ong melakukan persetubuhan tetapi wanita itu hanya diam.
"Seterusnya Ahmad Najib telah mengambil pisau dari tempat duduknya dan hanya selepas ini baru si mati (Ong) menunjukkan kesediaan untuk disetubuhi," katanya.
Beliau berkata pengambilan pisau itu tanpa Ahmad Najib mengucapkan sepatah perkataan di tempat yang agak sunyi pada 12 tengah malam merupakan satu ugutan.
Katanya, dalam kenyataan itu juga, tertuduh mengaku menikam Ong dua kali dan mengadakan hubungan seks.
Rayuan tertuduh
Semasa mengemukakan rayuan, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata anak guamnya itu berasal daripada keluarga sederhana.
Beliau berkata Ahmad Najib yang dilahirkan di Muar, Johor, mempunyai dua orang anak berumur dua dan tiga tahun dan perlu menanggung ibu bapanya yang sakit serta adiknya.
Mohamed Haniff berkata Ahmad Najib belajar sehingga tingkatan tiga dan selepas itu bekerja untuk menyara keluarganya sebagai buruh kasar dan pembantu am sebelum datang ke Kuala Lumpur.
Beliau berkata isteri Ahmad Najib pula bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat kewangan dan anak guamnya tidak mempunyai rekod jenayah sebelum ditangkap.
Timbalan Pendakwa Raya Salehuddin Saidin yang ditemui pemberita kemudian berkata pihak pendakwa berpuas hati dengan keputusan itu.
Lapor komen ini


Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.