Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membidas polis kerana enggan menerima notis Pengerusi BERSIH, Maria Chin Abdullah untuk mengadakan perhimpunan BERSIH 4 pada Ogos lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohammad Shariff Abu Samah berkata, adalah jelas dari afidavit tambahan pihak pembelaan bahawa Maria cuba untuk memberikan notis berhubung perhimpunan di Dataran Merdeka kepada Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainol Samah, seperti yang disyaratkan oleh Akta Perhimpunan Aman.

"Persoalannya ialah mengapa pihak polis tidak menerima notis itu. Mahkamah ini mendapati tiada peruntukan untuk tidak menerima notis," kata Mohamad Shariff.

Justeru katanya, usaha untuk memberi notis kepada pihak polis dibuat dalam keperluan 10 hari, maka Maria tidak melakukan kesalahan di bawah Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman.

Bagaimanapun, beliau menolak permohonan untuk membatalkan pertuduhan di bawah akta yang sama kerana Maria tidak memberi notis untuk pra-himpunan yang berasingan di luar Nu Sentral.

[Baca berita penuh]