1MDB hari ini mengumumkan bahawa syarikat pelaburan negara itu telah membayar semula pinjaman RM2 bilion yang diaturkan oleh jutawan perniagaan, Tan Sri T Ananda Krishnan.

Ananda Krishnan telah melangkah masuk dengan pinjaman RM2 bilion tahun lalu pada kemuncak masalah kewangan apabila 1MDB bergelut untuk membayar balik satu lagi pinjaman dengan jumlah yang sama kepada Maybank dan RHB Capital.

"1MDB dengan sukacitanya mengumumkan bahawa ia telah membayar, sepenuhnya dan lebih awal dari tarikh pembayaran balik, kemudahan pinjaman RM2 bilion daripada Marstan Investments NV.

"Kemudahan ini bermula pada bulan Februari 2015 dan digunakan untuk membayar balik RM2 bilion hutang kepada sindiket bank-bank tempatan.

"Kemudahan pinjaman itu diatur untuk 1MDB oleh syarikat jana kuasa bebas, Tanjong Energy Holdings, sebagai alternatif kepada komitmen Tanjong Energy Holdings untuk melabur RM2 bilion ekuiti dalam anak syarikat 1MDB, Powertek Investment Holdings Sdn Bhd," kata 1MDB dalam kenyataan hari ini.

1MDB berkata, pembayaran balik itu adalah penting dalam langkah pengurangan hutang syarikat berkenaan.

"Pembayaran balik ini menandakan satu lagi peristiwa penting dalam pelan rasionalisasi 1MDB dan mengurangkan lagi obligasi hutang jangka pendek 1MDB," katanya.

Menurut The Edge Financial Daily , 1MDB sepatutnya membayar balik pinjaman kepada bank-bank tempatan pada 30 November 2014 tetapi gagal berbuat demikian.

Ia kemudiannya diberikan lanjutan sehingga 31 Disember 2014 dan satu lagi lanjutan lain sehingga 30 Januari, 2015 apabila ia masih tidak dapat mendaptkan jumlah berkenaan.

1MDB memohon lanjutan ketiga, tetapi ini ditolak oleh bank-bank tempatan dan ia membawa Ananda Krishnan melangkah masuk.

[Baca berita penuh]