Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussien mencabar mana-mana pihak yang mendakwa Malaysia dan perdana menteri dibeli oleh menteri luar Arab Saudi agar membuktikan dakwaan itu.

"Mereka boleh tuduh tetapi kalau betul kita telah pun dibeli, buktikan.

“Tak ada bukti jangan cakap," kata Hishammuddin kepada pemberita.

Naib presiden Umno itu berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu semalam.

Mohamad berkata pengakuan Arab Saudi bahawa kerajaan itu menderma RM2.6 bilion kepada Datuk Seri Najib Razak menggambarkan Malaysia dan perdana menteri telah dibeli untuk menyertai blok geopolitik negara itu.

Mohamad mengingatkan pendirian tidak memihak Malaysia yang menganggotai Pergerakan Negara Berkecuali (NAM) dan peranannya sebagai rang tengah dan pendamai sebelum ini.

Mengulas lanjut, anggota Parlimen Sembrong itu berkata dakwaan sedemikian hanyalah sebahagian daripada polemik politik.

" Spin politik (ini) pelbagai, tuduhan yang berubah-berubah mengikut musim, mengikut jawapan dan itu semua isu polemik politik.

“Apa yang penting kita nak tahu apa yang sebenarnya berlaku dan pandang ke hadapan.

"Saya konsisten dari dulu lagi dalam apa jua tuduhan biarlah ada pengesahan dan verifikasi dari pihak berkenaan," kata Hishammuddin.

Hishammuddin juga berkata isu-isu semasa ini akan berubah dari semasa ke semasa dan tidak pernah berkesudahan.

"Saya tengok bahawa isu-isu semasa berubah setiap saat dan kalau kita hanya melayani isu-isu sebegini tak ada kesudahannya. Lebih baik kita tengok kepada benda-benda yang boleh membina.

"Contohnya apa yang berlaku di sini hari ini di mana dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, dalam keadaan keselamatan dan pertahanan dunia yang menjadi cabaran besar kepada semua pemimpin dunia di sana, sambutan pada DSA luar biasa," tambahnya.