PAS terus harap Zeti kekal di Bank Negara
Menjelang hari-hari terakhir tamatnya perkhidmatan Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, PAS masih menaruh harapan supaya gabenor Bank Negara itu dikekalkan.
Timbalan Presidennya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man ( gambar ) menggesa supaya langkah itu diambil jika masih belum menemui pengganti sesuai.
"Rakyat tertunggu-tunggu siapakah yang bakal menggantikan Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz sebagai gabenor Bank Negara.
"Jika tiada pengganti yang sesuai kepada Tan Sri Zeti belum dapat disepakati, PAS mendesak agar Tan Sri Dr Zeti diberikan lanjutan kontrak bagi memenuhi hasratnya melihat isu 1MDB diselesaikan sebelum beliau bersara.
"Rakyat masih menanti jaminan perdana menteri bahawa Bank Negara akan bebas dari campur tangan ahli politik," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Dr Zeti yang akan menamatkan kontraknya akhir bulan selepas 16 tahun berada di kedudukan itu.
Beberapa nama disebut-sebut sebagai pengganti Zeti, antaranya Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah (
gambar
) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar,
Selain itu, Tuan Ibrahim terus mengingatkan supaya peneraju baru Bank Negara hendaklah terdiri daripada kalangan yang berwibawa, bebas pengaruh politik, berani, tegas, adil dan “berpihak kepada kebenaran”.
"PAS menegaskan mereka yang pernah melibatkan diri di dalam kabinet Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan mana-mana parti politik BN mestilah ditolak sebagai calon gabenor Bank Negara yang baru.
"Bank Negara adalah satu-satunya institusi yang masih dipercayai rakyat Malaysia, perlu bebas daripada sebarang pengaruh politik," katanya lagi.

