Pertubuhan Penita Pulau Pinang sebuah pertubuhan ibu tunggal telah membuat dua laporan polis terhadap beberapa bekas pemimpin Puteri Umno kerana didakwa menggelapkan dana RM10,000 yang disumbangkan untuk ibu tunggal di negeri itu.

Dalam laporannya, persatuan itu mendakwa seorang pemimpin Umno cawangan turut terbabit sama dengan beberapa bekas pemimpin-pemimpin Puteri Umno dari Bahagian Jelutong.

Wang tersebut dikumpulkan sewaktu berlangsungnya majlis makan malam untuk tujuan tersebut, yang diadakan Disember lalu di George Town.

Penyelaras Penita, Sarama Abdullah, yang membuat laporan polis itu, juga bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang bagi mendapatkan semula wang tersebut.

Dalam laporannya itu, beliau telah menamakan bekas ketua Puteri Umno Jelutong, Wardah Abu Bakar; ketua penerangan, Mehar Banu Mohamad Saleh; bendahari, Anila Abdullah; ahli jawatankuasanya, Che Puteh Abu Bakar, Nooraini Mohamed Saleh dan Fazilah Suleiman sebagai mereka yang didakwanya bertanggungjawab menggelapkan wang tersebut.

Beliau juga menamakan seorang pemimpin cawangan yang didakwanya turut terbabit dalam kes tersebut sebagai Mohd Abidin Mohd Noor dari Umno cawangan Persisiran Sungai.

Dapatkan bantuan DAP

Penita juga telah mendapatkan bantuan guaman dari parti pembangkang, DAP. Pertubuhan tersebut terpaksa mengambil tindakan undang-undang selepas rayuannya kepada pihak Umno di peringkat bahagian, negeri, pusat dan kepada presiden parti itu, tidak berhasil.

"Kami kesal kerana Presiden Umno yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi juga gagal membantu kami," kata Sarama.

Menurutnya, Penita telah menganjurkan majlis makan malam untuk mengutip sumbangan itu dengan kerjasama Puteri Umno Jelutong, dan memandangkan Penita belum didaftarkan, maka pemimpin Puteri Umno terbabit. telah menawarkan diri untuk membantu menyelaraskan wang tersebut.

"Apa yang kami difahamkan, hasil kutipan daripada jualan tiket dan penajaan akan disimpan dalam akaun Puteri Umno dan kemudiannya disumbangkan kepada 25 orang ibu tunggal," katanya.

Menurutnya lagi, ibu tunggal tersebut yang merupakan ahli Penita, masing-masing akan menerima sumbangan wang tunai RM300. Bakinya akan diserahkan kepada Penita.

"Bagaimanapun, sehingga hari ini, wang tersebut tidak dipulangkan kepada kami," kata Sarama kepada malaysiakin i.

Menurutnya lagi, Puteri Umno Jelutong tidak membelanjakan satu sen pun untuk majlis makan malam tersebut ataupun membantu mendapatkan sumbangan penaja.

"Kami telah ditipu," tegas Sarama lagi.

Penggantungan keahlian

Beliau juga baru mendapat tahu bahawa pemimpin Puteri Umno yang didakwa terbabit itu telahpun digantung keahlian mereka ketika majlis makan malam itu diadakan dan penyertaan mereka di majlis tersebut telah melanggar peraturan parti.

Sarama juga mendakwa telah menerima panggilan ugutan daripada orang yang tidak dikenali, termasuk peguam, yang mendakwa mewakili Puteri Umno Jelutong, yang memintanya jangan meneruskan tuntutan tersebut.

Beberapa pemimpin Puteri Umno yang telahpun melepaskan jawatan mereka dan keahlian mereka masih digantung telah menghantar notis guaman, untuk mengambil tindakan undang-undang jika beliau masih meneruskan tuntutan itu.

Dalam notis tersebut, mereka menafikan sebarang pembabitan dalam majlis makan malam tersebut dengan alasan utamanya bahawa keahlian mereka dalam Umno telah digantung.

Mengenai tindakan lambat polis terhadap aduan yang dibuatnya pada 20 Januari dan 6 Februari lalu, Sarama membayangkan kemungkinan terdapat campurtangan politik dalam kes tersebut.

----------------------------------------------------------------------

ATHI VEERANGGAN adalah wartawan sambilan malaysiakini di Pulau Pinang.