'Pasukan Penyiasat RM2.6b perlu minta maaf pada Najib'
Pasukan Penyiasat Khas atau ‘task force’ yang ditubuhkan bagi menyiasat Datuk Seri Najib Razak perlu meminta maaf kepada perdana menteri selepas isu 1MDB dan derma kontroversi RM2.6 bilion dijelaskan oleh Menteri Luar Arab Saudi, Adel Al-Jubeir.
Senator Tan Sri Ali Rustam berkata, penubuhan task force itu telah memberi persepsi negatif kepada Najib dan negara kerana rakyat menganggap perdana menteri bersalah dalam kedua-dua isu berkenaan.
“Apabila ditubuhkan task force, orang dah ada persepsi perdana menteri bersalah. Padahal ini fitnah oleh Wall Street Journal (WSJ). Jadi kerana itu nama baik perdana menteri dan negara sudah terjejas.
“Kerana itu saya lihat perkara ini tidak boleh berulang, task force ini perlu minta maaf,” katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia .
Pasukan petugas khas itu diketuai oleh bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dan dianggotai oleh pasukan polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Bank Negara.
Tidak lama selepas akhbar Wall Street Journal mendedahkan dokumen yang didakwa adalah dari kertas siasatan Malaysia yang memperincikan jejak aliran wang di akaun bank peribadi Najib, Gani dilucutkan jawatannya atas sebab-sebab kesihatan.
Walau bagaimanapun, kerajaan menolak dakwaan bahawa tindakan berkenaan adalah untuk menggagalkan siasatan pasukan petugas itu.
Minggu lalu, Menteri Luar Arab Saudi, Al-Jubeir mengaku bahawa sumbangan derma kepada perdana menteri datang dari negara itu.
Beliau dilaporkan memberitahu wartawan Malaysia di Istanbul bahawa kerajaan Arab Saudi sedar derma itu adalah tulen tanpa mengharapkan balasan.
Semalam, WSJ mendakwa bahawa sebahagian wang daripada syarikat palsu Aabar Investments PJS berakhir di Tanore Finance Corp yang juga berpangkalan di Kepulauan British Virgin, entiti sama yang memindahkan AS$681 juta ke dalam akaun bank peribadi Najib.
1MDB dilapor memindahkan AS$3.5 bilion kepada sebuah syarikat yang berpangkalan di Kepulauan British Virgin yang mempunyai nama yang sama dengan anak syarikat, International Petroleum Investment Company (IPIC) - Aabar Investments PJS - tetapi tidak mempunyai kaitan dengan firma milik dana Abu Dhabi itu.
Setiausaha Akhbar Perdana Menteri menolak dakwaan itu sebagai satu pembohongan yang dijaja oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.
Najib berulang kali menafikan beliau menyalahgunakan wang rakyat untuk kepentingan peribadi dan menyalahkan individu dan kumpulan yang berkomplot cuba menggulingkannya.
Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali juga telah ‘membersihkan’ perdana menteri daripada sebarang salah laku.
Sementara itu, Senator Datuk Megat Zulkarnain Omardin pula menggesa supaya Dr Mahathir supaya berhenti dari terus mengelirukan rakyat hanya kerana dendam terhadap Najib.
Katanya, apabila Jawatankuasa kira-kira wang Negara (PAC) sudah merumuskan bahawa Najib tidak bersalah dalam isu 1MDB dan Arab Saudi menjelaskan berkenaan isu derma, maka tuduhan Dr Mahathir sudah tidak berasas.
“Sudah tiada kes, apa lagi? Sudah-sudahlah. Kalau ada masalah secara peribadi selesaikan secara peribadi dan jangan libatkan rakyat.
“Permainan politik fitnah membawa kemudaratan paling besar,” katanya yang juga dipetik oleh akhbar milik Umno itu.
Beliau turut menggesa supaya Dr Mahathir berhenti menggunakan rakyat sebagai modal memandangkan kerajaan sedia ada dipilih secara sah oleh suara majoriti rakyat.
“Perkataan rakyat terlalu murah sekarang. Dia (Dr Mahathir) kata dia berjuang demi rakyat. Dia buat deklarasi rakyat, tapi rakyat yang mana,” soalnya.

