Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mendedahkan bahawa penganjur perhimpunan jalan ‘baju merah’ pada 16 September lalu sebagai satu-satunya yang "enggan bekerjasama" dalam usaha-usaha pemantauan pada tahun lalu.

Perhimpunan yang diadakan di Jalan Petaling itu adalah satu daripada enam perhimpunan awam utama yang dipantau oleh Suhakam dan penemuannya direkodkan dalam Laporan Tahunan 2015 yang dikeluarkan hari ini.

"Kita pantau enam perhimpunan berskala besar iaitu #KitaLawan (7 Mac), #BantahGST (1 Mei), #HentikanRogol (7 Jun), #AtTheEdge (8 Ogos), Bersih 4.0 (29 dan 30 Ogos) dan Himpunan Baju Merah (16 September).

"Tapi kita ada masalah dengan penganjur himpunan baju merah," kata Pesuruhjaya Suhakam, James Nayagam yang membentangkan penemuannya pada sidang media di ibu pejabat suruhanjaya itu di Kuala Lumpur.

“Lima penganjur lain sudi bekerjasama dengan Suhakam terima nasihat kita tapi penganjur baju merah menolak serta tidak melayan tawaran Suhakam untuk menjadi orang tengah.

"Penganjur perhimpunan nombor enam (baju merah) menolak Suhakam tetapi kita meneruskan untuk memantau perhimpunan tersebut," kata Nayagam yang mengakui bahawa terdapat peningkatan keseluruhan rasa hormat hak kebebasan untuk berhimpun.

Beliau juga melahirkan pujian ke atas tindakan profesional pihak polis dalam mempermudah perjalanan perhimpunan awam dan keselamatan peserta himpunan dan orang awam.

"Terdapat peningkatan dari segi keterbukaan dan sikap hormat di kalangan masyarakat serta pihak berkuasa terhadap hak kebebasan berhimpun.

"Pihak penganjur kecuali himpunan baju merah lebih teratur berbanding sebelumnya dan menunjukkan kawalan yang lebih baik ke atas kelakuan peserta.

"Serta keterbukaan penganjur dan wakil polis untuk berinteraksi antara satu sama lain," katanya.

Perhimpunan ‘baju merah’ menyaksikan kira-kira 800 penunjuk perasaan cuba merempuh kawasan perniagaan majoriti masyarakat Cina yang lebih dikenali sebagai Chinatown.

Ia diterajui oleh Ketua Umno bahagian Sungai Besar Datuk Jamal Yunos yang pada mulanya mengumumkan bahawa protes itu diadakan sebagai susulan terhadap perhimpunan BERSIH 4 pada 29 dan 30 Ogos tahun lalu.

[Baca berita penuh]