Thai King: Lihat keikhlasan, bukan wang ringgit
Berharap dapat kembali semula dalam politik pada pilihan raya negeri Sarawak kali ini, seorang hartawan menggesa pengundi melihatnya melampaui wang ringgit, tetapi hati nurani.
Tiong Thai King adalah saudara kandung taikun balak Hew King, pengasas kumpulan Rimbunan Hijau (RH).
RH salah satu daripada enam peniaga balak yang pernah menerima amaran Ketua Menteri Sarawak Adenan Satem bahawa beliau tidak akan bertolak ansur dengan amalan rasuah.
Saudara beliau juga memiliki Media Chinese International Ltd yang menerbitkan empat akhbar harian berbahasa Cina, iaitu - Sin Chew Daily, China Press, Nanyang Siang Pau dan Guang Ming Daily .
Ditemui semasa lawatan ke sebuah sekolah di Sibu Jaya hari ini, Thai King berkata ada menghidu sentimen negatif terhadap calon yang berduit.
“Saya tidak tahu kenapa ada pandangan sebegitu, kamu kena tanya mereka,” kata calon langsung BN itu bagi kerusi Dudong.
“Apa yang tak kena bila calon datang daripada keluarga berduit?” katanya.
Thai King mahu orang ramai menumpukan kepada keikhlasan hatinya untuk menyumbang kepada masyarakat.
“Kita ada wang dan kita ada peluang menyumbang dan kita menyumbang kepada pendidikan serta sekolah. Dan ini amat bermakna.
“Jangan bezakan antara kaya (dan miskin), kita patut menyumbang pada pendidikan,” katanya.

