Mahkamah tolak rayuan Anina cabar pemecatan Umno
Mahkamah Rayuan menolak rayuan bekas ahli Umno Langkawi, Anina Saadudin untuk mencabar keputusan pemecatan beliau daripada parti itu.
Keputusan sebulat suara itu buat oleh hakim Mahkamah Rayuan, Datuk David Wong Dak Wah, yang mengetuai tiga ahli panel yang terdiri daripada hakim Datuk Badariah Sahamid dan Harminder Singh.
Sambil merujuk kes Presiden MyPPP, Tan Sri M Kayveas, Wong berkata bukan sahaja mereka terikat, malah mereka juga bersetuju dengan taksiran Seksyen 18C Akta Pertubuhan – yang menyebut apa jua keputusan oleh mana-mana parti, sama ada betul atau salah, adalah tidak bertakluk kepada penilaian mahkamah dan sebarang pertikaian harus diselesaikan di luar mahkamah.
“Keputusan parti politik adalah muktamad dan konklusif, tidak boleh dicabar,” kata Wong.
Sehubungan itu, kuorum tersebut memutuskan, Mahkamah Tinggi betul ketika membatalkan saman bekas ahli Umno berkenaan.
Wong, sementara itu, menetapkan RM10,000 sebagai kos yang akan dibayar oleh perayu.
Mahkamah, walau bagaimanapun, berkata Anina boleh menfailkan cabaran baru berkaitan perlembagaan Seksyen 18C Akta Pertubuhan.
Pada 7 Disember tahun lalu, Pesuruhjaya Kehakiman, S Nantha Bala (kini hakim) membenarkan permohonan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Datuk Seri Ab Rauf Yusoh untuk membatalkan saman yang dikemukakan oleh Anina dengan kos RM5,000.
Anina dipecat daripada Umno selepas beliau memfailkan saman pada 8 Ogos tahun lalu terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung derma RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun peribadi presiden parti itu.

