Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar Malaysia dijangkakan berkembang sederhana pada 4.2 peratus tahun ini, didorong oleh perbelanjaan sektor swasta.

Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi (MIER) Emeritus Prof Dr Zakariah Abdul Rashid berkata permintaan domestik dijangka berkembang 4.5 peratus berbanding 5.1 peratus yang direkodkan pada 2015.

"Pertumbuhan ini disokong oleh pertumbuhan dalam pelaburan swasta sebanyak 5.6 peratus dan pertumbuhan penggunaan swasta 5.2 peratus," katanya dalam Taklimat Ekonomi Korporat ke-21 anjuran MIER di ibunegara hari ini.

Zakariah berkata pelaburan sektor swasta akan meningkat dalam jangka pendek, tumbuh sebanyak 1.4 peratus berbanding negatif satu peratus pada 2015.

"Perbelanjaan sektor awam tahun depan dijangka dipengaruhi penyepaduan fisikal yang berterusan memandangkan harga minyak dijangkakan kekal rendah," katanya.

Pada 2015, pelaburan swasta berkembang 6.4 peratus manakala penggunaan swasta tumbuh 6.0 peratus.

Beliau berkata Bank Negara Malaysia akan mengurus kedudukan mudah tunai yang ketat dan memihak kepada merangsang pengeluaran dan aktiviti ekonomi yang lain seperti pinjaman pasaran wang dan repo, menerusi dasar bercampurnya.

Bagi 2017, Zakariah menjangkakan KDNK sebenar akan meningkat sederhana, mencatat pertumbuhan antara 4.5 dan 5.5 peratus.

Beliau bekata permintaan domestik, yang akan meningkat 5.0 peratus tahun depan, akan terus memacu ekonomi Malaysia.

- Bernama