Pengunduran awal Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Berhad (MAB), Christoph Mueller menimbulkan banyak persoalan atas sebab-sebab beliau berundur dari jawatan itu dua tahun lebih awal dari sepatutnya.

Namun begitu, The Star melaporkan Mueller, dalam pertemuan bersama kakitangan syarikat penerbangan negara itu, memberitahu bahawa pengundurannya bukan atas tekanan politik atau ketidak mampuan beliau untuk memulihkan firma tersebut.

"Beliau merumuskan bahawa pengundurannya adalah disebabkan hal-hal peribadi dan adalah berkaitan pentauliahan dan baki bank," kata laporan itu.

Laporan itu menyebut bahawa Mueller mendedahkan kepada sekitar 500 kakitangan syarikat itu dalam mesyuarat bahawa pengundurannya adalah ekoran alasan peribadi.

"Walau bagaimanapun, beliau berkata tidak dapat menerangkan sebab peribadi itu dan berharap semua pihak menghormati dan memahaminya," jelasnya lagi.

Mueller, yang disebut-sebut sebagai individu yang akan memulihkan kewangan MAB selepas ditimpa dua tragedi penerbangan pada tahun 2014, mengejutkan industri apabila mendedahkan pengunduran beliau pada September ini.

Laporan itu turut menyebut hasrat Mueller untuk kekal sebagai pengarah bukan eksekutif bagi melihat proses transisi MAB di bawah pimpinan baru.