Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Papan hiasan ayat al-Quran salah cetak diarah turun

Pemeriksaan di lapan premis makanan di Seksyen 7 di Shah Alam semalam tidak melibatkan isu status halal, sebaliknya kerana premis berkenaan dikesan menggantung papan hiasan ayat Al-Quran mengandungi kesalahan cetakan.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Haris Kasim berkata, antara lapan premis yang diarahkan untuk menurunkan papan hiasan itu adalah Restoran Hakim di Jalan Zikron dan Jalan Kristal serta Restoran Kamal & Corner di Jalan Plumbum.

"Tiada isu halal dibangkitkan dalam operasi berkenaan dan hanya tertumpu kepada isu penggantungan ayat Al-Quran yang mengandungi kesalahan cetakan," katanya dalam satu kenyataan Khamis.

Menurut Haris, operasi pemeriksaan secara bersepadu yang berakhir kira-kira 12.30 tengah hari semalam dilakukan oleh JAIS bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Tambahnya, arahan penurunan papan hiasan ayat Al-Quran yang mengandungi kesalahan cetakan berkenaan dibuat oleh KDN mengikut Seksyen 17 Akta Pencetakan Teks Al-Quran 1986 (Kesalahan Mencetak Ayat Al-Quran).

Isu mengenai status halal Restoran Hakim di Seksyen 7 tersebar di laman sosial hari ini berikutan operasi bersepadu berkenaan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS