Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pelepasan air ke sawah di Kerian ditangguh
Diterbitkan:  Apr 22, 2016 6:00 AM
Dikemaskini: 10:52 PM

Pelepasan air ke kawasan sawah padi di Selinsing serta Semanggol di daerah Kerian, dekat Taiping yang dijadualkan kelmarin terpaksa ditangguhkan, kata Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Perak Datuk Abdul Razak Dahalan.

Ketika dihubungi Bernama, beliau berkata pelepasan tidak dapat dibuat kelmarin kerana paras air di Empangan Tasik Bukit Merah terus menyusut iaitu kepada paras kira-kira 6.12 meter.

Katanya penjadualan semula pelepasan itu akan ditentukan selepas mesyuarat dengan Jabatan Pertanian dan Projek Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) dalam masa terdekat.

Media sebelum ini melaporkan, penanaman sawah padi melibatkan kawasan lebih 4,000 hektar sawah padi di kawasan Semanggol dan Selinsing tidak dapat dilakukan kerana bekalan air tidak dapat disalurkan ke kawasan sawah.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri Datuk Seri Dr Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar berkata kegagalan menanam padi akan menjejaskan pendapatan pesawah.

Ini seterusnya akan membebankan mereka kerana para petani bergantung kepada hasil pendapatan sawah untuk menyara kehidupan, katanya.

Petani di MADA tak perlu risau

Sementara itu, keadaan semasa bekalan air di tiga empangan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) kerana ia mencukupi bagi menampung sistem pengairan untuk penanaman padi Musim 1/2016 walaupun berdepan fenomena El Nino, kata Pengerusi MADA Datuk Othman Aziz.

Katanya jumlah takungan air di Empangan Pedu, Empangan Muda dan Empangan Ahning berada di tahap 60 peratus dan ia masih mencukupi untuk mengairi kawasan MADA seluas 100,000 hektar.

"Jumlah takungan di ketiga-tiga empangan adalah mencukupi untuk menjalankan kerja pengairan bagi Musim 1/2016 tetapi para petani perlu bersabar kerana pelepasan air ke bendang adalah mengikut fasa jadi para petani tidak perlu risau dan diminta untuk mematuhi jadual penanaman padi yang ditetapkan.

"Jangan bimbang kerana air ada untuk mereka usahakan bendang... Ada sesetengah kawasan yang sudah menerima air dan ada yang belum dan ini kerana apabila kita lepaskan air ia akan mengambil masa kira-kira dua atau tiga hari untuk sampai ke kawasan bendang mereka," katanya kepada pemberita di Alor Setar semalam.

Katanya, jumlah takungan air masih mencukupi ditambah pula dengan hujan yang turun sejak beberapa hari ini dan hujan lebat juga dijangka akan turun menjelang hujung bulan ini.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS