Jumlah calon Bebas dijangka cipta rekod baru
Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-11 dijangka mencipta rekod baru dari segi calon bebas yang bertanding.
Pada 2011, sebanyak 41 calon Bebas bertanding, jumlah paling banyak setakat ini. Sumber dalaman parti dan penganalisis politik meramalkan jumlah itu akan bertambah kali ini, bukannya semata-mata kerana perluasan medan tempur daripada 71 kepada 82 kawasan.
Kebanyakan mereka dijangka terdiri daripada individu yang kecewa kerana tidak dipilih menjadi calon dan proksi masing-masing.
"Beberapa hari lagi, kita mungkin dapat menyaksikan sejumlah ahli politik meninggalkan parti kerana tidak terpilih menjadi calon atau tidak berpuas hati dengan mereka yang dipilih, lalu mengambil keputusan bertanding sebagai calon Bebas .
"Saya menjangka kesemua mereka akan kalah dan malah, banyak yang hilang wang pertaruhan, seperti yang berlaku pada 2011," kata Prof Datuk Dr Jeniri Amir, penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sarawak.
Beliau berkata jumlah calon Bebas mungkin mencapai 50 orang seperti sebelum ini, dengan kebanyakan mereka bertanding di kawasan bumiputera.
Tidak ramai calon Bebas yang menang dalam pilihan raya tetapi mereka boleh menjadi pengacau yag akan mengubah keadaan di sesuatu kawasan yang mengalami pertandingan sengit.
Pada 2011, George Ak Lagong merupakan satu-satunya calon Bebas yang berjaya dan menguasai kerusi Pelagus dengan majoriti 2,837 setelah mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) dan PKR.
Media Sarawak melaporkan bahawa Dr Roland Dom Mattu, naib presiden kanan SPDP, sebuah parti komponen BN, meninggalkan parti itu untuk bertanding sebagai calon Bebas di Mulu, satu daripada 11 kawasan baru yang diwujudkan, dengan BN meletakkan Datuk Gerawat Gala sebagai calon langsungnya bagi kerusi itu.
Dalam perkembangan berkaitan hari ini, naib pengerusi PKR Sarawak Boniface Willy Tumek meninggalkan parti itu setelah tidak dipilih sebagai calon.
Beliau berhasrat untuk bertanding di Tasik Biru, tetapi setakat ini belum ada kepastian sama ada beliau akan bertanding sebagai calon Bebas di situ.
Penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-11 akan diadakan pada 25 April manakala hari mengundi ialah 7 Mei.
- Bernama

