Mana-mana ahli parlimen jua boleh membawa usul untuk tindakan ke atas Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Hasan Arifin.

Timbalan Pengerusi PAC, Tan Seng Giaw mengulas demikian setelah Hasan mengakui memadamkan beberapa ayat dalam laporan akhir PAC mengenai 1MDB.

Di samping itu, Hasan juga boleh memanggil mesyuarat PAC untuk memperbetulkan keadaan.

“Ahli parlimen, yang bukan anggota PAC, boleh mengusulkan cadangan dalam Dewan untuk diambil tindakan, seperti merujuk kepada jawatankuasa hak dan kebebasan,” Tan memberitahu Malaysiakini .

Beliau, walau bagaimanapun, menegaskan bahawa peraturan tetap tidak menyatakan anggota PAC tidak boleh membentangkan usul untuk merujuk anggota lain ke jawatankuasa hak dan kebebasan.

Di tanya mengapa anggota PAC tidak sepatutnya berbuat demikian sendiri, Tan menekankan Hasan telah mengakui kesilapannya.

“Dalam masyarakat kita, apabila seseorang itu telah mengaku melakukan sesuatu (silap), adakah anda teruskan menghentam? Tidak bukan?” tanya beliau.

Namun begitu, Tan mengakui sedar mengenai pandangan rakan dalam parti yang juga ahli parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua bahawa ketika adanya keputusan sebulat suara dalam perkara tertentu dalam mesyuarat PAC, ia tida sepatutnya diubah sehingga rundingan lanjut dengan anggota lain.

Dipadamkan kepada status tidak jelas

Pua, pada Selasa yang lalu, mendakwa Hasan telah memadamkan ayat dalam laporan itu yang berkaitan Low Taek Jho dalam firma Good Star Ltd.

Beliau menyebut ayat yang dipadamkan itu ialah : "Bank Negara Malaysia telah memaklumkan secara sukarela oleh pihak berkuasa di negara ini bahawa Good Star Limited merupakan syarikat yang dimiliki oleh individu yang tiada kaitan dengan Kumpulan PetroSaudi."

Ayat tersebut, jelas Pua, telah diluluskan oleh semua anggota PAC dalam draf kerja namun tidak diterbitkan dalam laporan akhir.