Dr Mahathir turun ke jalanan lagi, kali ini demi hak pekerja
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan sekali lagi turun ke jalanan di Kuala Lumpur.
Menjelang 1 Mei ini, beliau dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali akan menghadiri perhimpunan Hari Pekerja anjuran Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).
Sejak pelancaran kempennya menentang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak , Dr Mahathir kerap bersama dalam protes jalanan dan perhimpunan awam, yang suatu ketika dahulu tidak disenanginya semasa menjadi perdana menteri.
Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid yang juga adalah pemangku presiden MTUC pada sidang media hari ini berkata perhimpunan berkenaan akan mengketengahkan tuntutan MTUC kepada kerajaan untuk layanan lebih baik kepada pekerja di seluruh negara.
"Sama ada mereka (pekerja) tempatan atau luar negara.
"Tuntutan termasuk menetapkan gaji minimum bulanan kepada RM1,200, mengekalkan pengeluaran KWSP pada usia 55 tahun dan kajian lanjut mengenai impak cukai barangan dan perkhidmatan (GST) ke atas rakyat," kata Abdullah Sani dalam satu sidang media di Wisma MTUC.
Turut hadir wakil MTUC seperti Setiausaha Agung N Gopal Kishnan.

