Tiada unsur sabotaj dalam kejadian kebakaran di depoh Rapid Penang semalam.

Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) dalam satu kenyataan hari ini berkata punca kebakaran dipercayai bermula daripada percikan api ketika kerja-kerja pemotongan besi pada bahagian bas.

"Menurut kenyataan pengendali bas Rapid Penang, bas-bas itu telah dijual kepada kontraktor pelupusan besi buruk dan proses pemotongan dilakukan di dalam premis Rapid Penang sebelum dibawa keluar," menurut kenyataan itu.

Semalam, tujuh bas Rapid Penang yang telah ditamatkan penggunaan dan diletakkan di depoh penyimpanan bas syarikat itu di Jalan Bukit Pancur, di sini terbakar.

Pasukan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang berjaya memadam keseluruhan api di kawasan kebakaran itu pada pukul 6.10 petang.

Pemeriksaan mendapati tujuh bas Rapid Penang di situ terbakar dengan lima daripadanya musnah 100 peratus manakala dua lagi terbakar kira-kira 80 peratus.

- Bernama