ADUN Nangka, Dr Annuar Rapaee menuduh Malaysiakini memetik kenyataan beliau di luar konteks mengenai gesaannya supaya umat Islam di Sarawak mengundi BN pada pilihan raya negeri akan datang.

Dalam satu kenyataan media, calon Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu berkata beliau semata-mata mengingatkan umat Islam pada satu seminar di Sibu semalam bahawa mereka harus bersyukur kerana kaum-kaum lain sanggup menyokong mereka kerana “mereka berlaku adil kepada penganut agama lain dan mentadbir negara ini bersama-sama dengan baik”.

"Oleh itu, saya menggesa umat Islam untuk terus menyokong Tan Sri Adenan (Satem) sebagai ketua menteri.

"Tetapi apa yang disiarkan oleh Malaysiakini adalah berbeza. Kata-kata diputar-belitkan dengan cara saya dibuat kelihat sebagai seorang rasis," katanya mengulas artikel bertajuk ‘Undi BN untuk pastikan umat Islam jadi KM Sarawak’.

Mengulas lanjut, Annuar berkata beliau hanya menasihati umat Islam supaya menyokong Adenan yang menerima sambutan menggalakan dari semua kaum.

"Sebagai umat Islam, kita harus bersyukur bahawa kita boleh bersama kaum lain dengan baik. Oleh itu keharmonian dan toleransi perlu dikekalkan," katanya.

Annuar berkata, beliau telah menjelaskan perkara berkenaan kepada wartawan Malaysiakini .

"Saya beritahunya bahawa hanya mereka yang rasis melihat orang lain sebagai bersifat rasis. Akibatnya, apa yang dijelaskan tidak diterbitkan tetapi tajuk yang condong dengan nada perkauman," katanya.

Annuar yang juga pengerusi Lembaga Amanah Kebajikan Islam Sibu (Lakis), juga berkata bahawa dia tidak menyebut nama Tan Sri Stephen Kalong Ningkan.

"Saya cabar dia (wartawan) untuk mendedahkan sebarang rakaman yang saya sebutkan nama itu dalam seluruh ucapan saya!" katanya.

Walaupun Annuar tidak secara khusus berkata bahawa umat Islam perlu mengundi BN agar seorang Ketua Menteri Muslim dapat terus dikekalkan, namun ucapanya membawa maksud tersirat itu.

Dalam rakaman audio ucapannya, Annuar, memberitahu hadirin: "Saya menyeru masyarakat Islam, khususnya di Sibu supaya harus sedar (hakikat) ini, bahawa walaupun kita bukan kumpulan majoriti (di negeri ini) tetapi kita diberi peluang untuk memimpin negeri ini.

"Jadi, jangan kita sia-siakan peluang ini," katanya.

Malaysiakini telah membuat pindaan terhadap artikel dan tajuk untuk mencerminkan maksud kata-kata Annuar dan kesal jika sebelum ini ia adalah tidak jelas.

Mengenai aduan berhubung nama Stephen Kalong Ningkan dalam artikel itu, Malaysiakini ingin menyebut nama berkenaan adalah sebagai sebahagian daripada latar belakang dalam artikel itu.

Ia tidak mengaitkan nama berkenaan dengan Annuar.

Artikel itu juga memuatkan penafian Annuar bahawa beliau cuba meniupkan sentimen kaum dan agama dengan gesaan memelihara kepimpinan Islam dalam usaha mendapatkan undi.