Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
IPU tidak sihat di Miri akibat kebakaran hutan
Diterbitkan:  Apr 22, 2016 3:25 PM
Dikemaskini: 9:49 AM

Jerebu yang dialami di Miri, Sarawak yang mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat sejak pagi tadi berpunca daripada kebakaran hutan di kawasan Bekenu dan Marudi.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata kebakaran itu melibatkan keluasan sepanjang dua kilometer (km) di Bekenu dan 80 hektar di Marudi yang bermula sejak Rabu lepas hingga hari ini.

Beliau juga berkata keadaan jerebu yang dialami di Lembah Klang adalah disebabkan asap kebakaran hutan dan tanah gambut yang berlaku di beberapa kawasan di tengah Semenanjung seperti di Selangor dan Pahang.

"Pelepasan asap kenderaan bermotor dan dari industri di Lembah Klang turut menyumbang kepada keadaan jerebu yang dialami di Lembah Klang sejak semalam," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata antara kes kebakaran besar yang masih dalam pemantauan Jabatan Alam Sekitar (JAS) ketika ini ialah kebakaran hutan di tanah gambut di Mukim Beris Lalang dan Mukim Beoh, Bachok di Kelantan seluas 40 hektar yang berlaku sejak 12 Mac lepas.

"Selain itu, kebakaran di Hutan Simpan Kuala Langat Selatan, Selangor seluas 24.8 hektar sejak 2 April lepas.

"Kebakaran paya gambut di Hutan Simpan Gunung Arong, Mersing, Johor seluas 40 hektar sejak 19 April dan kebakaran hutan belukar di Kampung Durian Guling, Marang, Terengganu seluas 21.1 hektar sejak 17 April lepas," katanya.

Pada masa ini, katanya, tiada pengaruh jerebu merentas sempadan kerana negara masih berada dalam musim peralihan monsun yang dijangkakan sehingga pertengahan Mei ini.

Sementara itu, laman sesawang Jabatan Alam Sekitar (JAS) menunjukkan kawasan yang mencatat bacaan IPU tidak sihat meningkat kepada empat setakat pukul 2 petang ini berbanding dua pada pagi tadi.

Putrajaya dan Cheras, Kuala Lumpur masing-masing mencatatkan IPU dengan bacaan 103 dan 108, dan dua kawasan lagi iaitu Pelabuhan Klang, Selangor mencatatkan peningkatan IPU daripada 105 kepada 107 manakala Miri, Sarawak turun kepada 142 berbanding 146 pada pukul 11 pagi tadi.

Menurut portal itu, sebanyak 21 kawasan mencatatkan bacaan IPU baik, manakala 29 lagi IPU sederhana.

Antara kawasan yang mencatatkan bacaan IPU sederhana ialah Shah Alam (88); Nilai (81); Port Dickson (70); Batu Muda (86); Banting (81) dan Petaling Jaya (78).

IPU antara 0 hingga 50 adalah baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 301 ke atas (berbahaya).

Menurut portal itu, keadaan diburukkan lagi dengan cuaca panas dan kering sekali gus menyebabkan pencemar udara terapung di udara. Orang ramai boleh merujuk portal apims.doe.gov.my untuk mengetahui bacaan IPU semasa.

- Bernama

Lihat Komen
ADS