Jabatan Kesihatan Negeri Kedah mengesahkan guru wanita sebuah sekolah di Mergong yang dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar semalam selepas dipercayai dipatuk ular, sebenarnya tidak dipatuk haiwan berbisa itu.

Pengarahnya Datuk Dr Norhizan Ismail berkata hasil pemeriksaan pihak hospital ke atas guru terbabit tidak menemukan sebarang tanda atau kesan patukan ular pada kaki kirinya.

"Guru itu ditempat di wad perubatan wanita di hospital itu untuk pemerhatian dan pemantauan lanjut.

"Pakar perubatan mendapati guru itu berada dalam keadaan stabil, tanpa sebarang tanda patukan ular padanya sebelum dibenarkan pulang pagi ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya guru terbabit tiba di unit kecemasan HSB kira-kira 12.40 tengah hari semalam mengadu mengalami rasa kebas pada kaki kirinya selepas dipercayai dipatuk ular jenis sawa burung ketika mengambil barang dalam stor sekolah itu.

- Bernama