Umno Tganu akan siasat dakwaan wujud pengundi hantu PAS
Umno Terengganu akan menyiasat dakwaan bahawa kemenangan PAS di empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam pilihanraya umum lalu disebabkan oleh pengundi hantu.
Umno Terengganu akan menyiasat dakwaan bahawa kemenangan PAS di empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam pilihanraya umum lalu disebabkan oleh pengundi hantu.
Setiausaha Perhubungan Umno Terengganu, Rosol Wahid berkata Umno negeri mendapat maklumat bahawa PAS membawa masuk pengundi hantu ke empat DUN berkenaan untuk memastikan kemenangan calon mereka.
"Jika siasatan ini mendapati PAS memang membawa masuk pengundi hantu, Umno akan membuat membuat aduan polis dan kepada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR)," katanya.
Empat kerusi DUN tersebut ialah Rhu Rendang yang dimenangi oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Batu Burok (Datuk Wan Mutalib Embong), Manir (Harun Taib) dan Wakaf Mempelam (Abdul Wahid Endut).
Keempat-empat kerusi DUN tersebut merupakan kubu kuat PAS yang dimenangi parti itu sejak pilihanraya umum 1990.
Bagaimanapun, kata Rosol, Umno mempunyai peluang cerah untuk merampas keempat-empat kerusi tersebut dalam pilihanraya umum akan datang.
Malah, katanya, Konvensyen Khas Umno Terengganu selama dua hari mulai hari ini khusus memfokuskan kepada sasaran untuk menyifarkan pembangkang di Terengganu.
Kurang pengaruh
Konvesyen tersebut yang pertama sejak pilihanraya umum lalu, dihadiri 860 pemimpin Umno dari seluruh negeri dan dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh dan penutupannya oleh Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Razak.
Sementara itu, Rosol juga menasihatkan Abdul Hadi supaya usah bercakap besar kononnya parti itu akan menawan kembali Terengganu dalam pilihanraya umum akan datang.
Katanya, pengaruh bekas Menteri Besar Terengganu itu sudah jauh berkurangan berbanding sebelum ini.
Menurutnya, tindakan Abdul Hadi berceramah ke merata tempat dengan memburuk-burukkan kerajaan Barisan Nasional (BN) "hanya sekadar mendapat dosa kering sahaja".
"Ini menjatuhkan imejnya sebagai seorang ulama. Dia perlu berhenti bercakap jika tidak mahu namanya terus menjadi buruk," katanya.
Rosol juga menyifatkan dakwaan Abdul Hadi bahawa PAS kuat dan akan merampas semula Terengganu "samalah seperti masuk bakul angkat sendiri".
"Kalau kita lihat, ceramah Abdul Hadi kini sudah tidak mendapat sokongan lagi. Kalau dulu orang datang beribu dari serata negeri, kini nak cari 200 orang pun susah," katanya.

