Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
KJ: Marah pemimpin tapi jangan gadai masa depan S’wak

Pengundi muda di Sarawak dinasihati supaya tidak mengambil risiko dengan mengundi pembangkang pada pilihan raya negeri 7 Mei ini kerana mereka tidak akan membawa kepada pembangunan negeri itu.

Pengerusi Pemuda BN Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata meskipun pengundi muda marah terhadap kepimpinan sedia ada namun masa depan Sarawak tidak seharusnya digadaikan.

“Pada saya bukan masa untuk gadai masa depan, ini masanya kita bagi mandat kepada ketua menteri.

“Sebab (kalau) undi pembangkang kerana tak puas hati (dan) marah, ia tak akan hasilkan apa-apa dalam konteks pembangunan negeri Sarawak. Di negeri Sarawak pilihan raya negeri adalah masa depan Sarawak,” katanya.

Khairy berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas merasmikan Bilik Gerakan Pemuda di Kuching hari ini.

Sementara itu, Khairy yang juga Ketua Pemuda Umno berkata persiapan jentera BN di Sarawak pada tahap yang memuaskan.

Katanya, pemuda telah meletakkan seramai 13 calon untuk bertanding menjadikan ia jumlah calon muda teramai dalam sejarah pilihan raya Sarawak.

“Saya ingin memaklumkan kepada media bahawa jentera PRN Sarawak sudah lama bersiap sedia dan saya telah meluangkan masa semalam dan hari ini memantau persiapan akhir menjelang pilihanraya negeri yang bermula pada Isnin dan saya dapati bahawa jentera kita dalam keadaan yang mantap.

“(Saya) semak dengan Ketua Pemuda BN Sarawak Datuk Seri Fadhilah Mansor, ini calon paling ramai 13 orang dari pemuda dan beri semangat kepada jentera untuk mendekati rakyat terutamanya dalam pengundi muda mengundi BN,” katanya.

Lihat Komen
ADS