Perjumpaan di antara Majlis Peguam dengan peguam baru hari ini untuk mendengar pandangan mereka berhubung cadangan pembaharuan dalam profesyen perundangan, telah ditangguhkan ke tarikh yang belum ditetapkan.

Difahamkan, penangguhan itu dibuat kerana kesuntukan masa untuk memaklumkannya kepada semua peguam baru di seluruh negara yang merupakan tiga perempat daripada 12,000 peguam di Semenanjung Malaysia.

Perjumpaan itu dijadual diadakan atas permintaan yang dibuat sewaktu berlangsungnya konvensyen peguam baru peringkat nasional di Perak bulan lalu. Lebih 100 orang menghadiri konvensyen tersebut.

"Tarikh dan masanya tidak sesuai," kata Pengerusi Jawatankuasa Peguam Baru di dalam Majlis Peguam, Malik Imtiaz Sarwar ketika dihubungi. Menurutnya, beliau telah dimaklumkan minggu lalu mengenai penangguhan tersebut.

Bagaimanapun, tiada jumlah kuota kehadiran yang ditetapkan untuk perjumpaan tersebut.

Malik berkata, beliau tidak pasti tarikh baru perjumpaan itu akan diadakan, tetapi berkata kemungkinan selepas pemilihan Majlis Peguam bulan depan.

Kenyataan enam muka

Kenyataan enam muka disediakan selepas konvensyen tiga hari di Perak itu, yang antara lain, mahu Majlis Peguam dikecam kerana tidak melakukan secukupnya untuk memansuhkan Seksyen 46A, Akta Profesyen Undang-undang (LPA).

Akta itu mengawal aktiviti para peguam dan Majlis Peguam yang mengendalikan urusan hal-ehwal dan menjalankan fungsi-fungsi Bar Malaysia.

Manakala Section 46A melarang peguam baru mereka yang berkhidmat kurang daripada tujuh tahun memegang sebarang jawatan dalam majlis tersebut. Peruntukan itu merupakan 'halangan' terhadap peguam baru yang mahu diwakili dalam pentadbiran majlis itu.

Mereka juga membuat tuntutan lain termasuk mencadangkan penubuhan majlis bayangan peguam baru yang dipilih, yang komposisinya sama seperti dalam Majlis Peguam.

Peguam baru juga mahu pembaharuan dibuat terhadap sistem pemilihan majlis itu dan mahu sekretariat majlis itu dirombak semula untuk meningkatkan lagi ketelusan, kecekapan dan akauntabilitinya.

Majlis itu juga digesa supaya merangka peraturan untuk mempromosi, melindungi dan mengambil langkah-langkah untuk menjaga kepentingan peguam pelatih serta menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk menyelia kebajikan mereka.

Pengerusi Majlis Peguam, Kuthubul Zaman Bukhari telah dipetik dalam New Straits Times sebagai berkata, tidak perlu diwujudkan majlis bayangan itu, kerana kurang minat mengenainya di kalangan peguam baru pada masa yang lalu.

Mengenai Seksyen 46A, beliau berkata, majlis itu sentiasa berusaha keras untuk memansuhkan larangan tersebut dan malah telah mencabar peruntukan itu hingga ke peringkat Mahkamah Persekutuan. Bagaimanapun, mahkamah memutuskan peruntukan itu mengikut perlembagaan.

Menurut laporan itu lagi, beliau berkata sebuah jawatankuasa telah ditubuhkan enam bulan lalu dan kini sedang menyediakan draf cadangan untuk memansuhkan Seksyen 46A untuk dikemukakan kepada Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.

Selain melarang peguam baru terbabit dalam urusan pentadbiran majlis itu, Seksyen 46A juga melarang peguam yang menjadi Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan pemegang jawatan dalam kesatuan sekerja dan parti politik, daripada dipilih menjadi ahli Majlis Peguam.