Islam adalah perkara yang amat sensitif, kata Najib
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata semua pihak perlu mengambil kira sensitiviti umat Islam dalam membuat sebarang cadangan yang boleh mencampuri urusan agama Islam kerana "perkara ini amat sensitif".
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata semua pihak perlu mengambil kira sensitiviti umat Islam dalam membuat sebarang cadangan yang boleh mencampuri urusan agama Islam kerana "perkara ini amat sensitif".
Semua pihak, katanya, harus sedar bahawa Islam merupakan agama rasmi dan telahpun mempunyai badan-badan yang berkuasa dalam membuat sebarang penentuan berkaitan agama itu.
Menurut laporan Bernama , beliau menegaskan demikian ketika diminta mengulas cadangan Majlis Peguam untuk menubuhkan Suruhanjaya Antara Agama yang disifatkan oleh sesetengah pihak sebagai satu cubaan mencampuri urusan agama Islam.
Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan pengeluaran pertama kereta Mercedes Benz yang dipasang di kilang MTB di Pekan hari ini, beliau berkata, di negara ini, semua pihak bebas membuat cadangan tetapi tidak semua cadangan yang dapat diterima.
"Kita akan kaji sedalam-dalamnya, terutama sekali yang melibatkan kedudukan agama Islam, perkara ini amat sensitif.
"Dari segi pentadbiran agama Islam, sudah wujud struktur dan kuasa yang bersabit dengan penentuan agama Islam," katanya.
Najib berkata, kerajaan akan mengkaji secara mendalam cadangan itu dan akan membuat keputusan kemudian.
Galakkan dialog
"Yang kita galakkan ialah dialog antara agama tetapi tidak semestinya dalam bentuk suruhanjaya dan sebagainya," katanya.
Timbalan Perdana Menteri berkata perkara yang sensitif seperti itu tidak sepatutnya diperbesarkan sangat.
Semalam Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Abdullah Mohamed Zin dilaporkan berkata suruhanjaya itu tidak boleh diwujudkan di negara ini kerana ianya bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Persidangan peringkat nasional untuk membincangkan cadangan penubuhan suruhanjaya antara agama itu bermula di Bangi semalam yang dirasmikan oleh Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr Rais Yatim.
Bercakap dalam sidang akhbar kemudiannya, Dr Rais menggesa pihak yang menentang cadangan itu supaya mengetepikan terlebih dahulu perbezaan pandangan dan bersedia mendengar apa orang lain mahu nyatakan mengenainya.
"Saya berada di sini hari dengan fikiran yang terbuka. Kita perlu terlebih dahulu mendengar kandungan cadangan itu.
"Jika kandungan draf cadangan itu (sedang dibincangkan) tidak sesuai, Peguam Negara boleh membuat perubahan-perubahan sepatutnya," tambahnya.
Walaupun ada pihak yang mempunyai rasa wasangka terhadap usaha tersebut, Dr Rais berkata, inisiatif itu baik dalam mewujudkan keharmonian dan perpaduan nasional.

