Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
P'raya S'wak: 82 kerusi DUN dipertandingkan
Diterbitkan:  Apr 25, 2016 5:47 AM
Dikemaskini: Apr 25, 2016 12:50 AM

Proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 (PRN-11) di 82 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula 9 pagi ini.

Proses penamaan calon berlangsung selama sejam sehingga 10 pagi di 82 pusat penamaan calon yang terdiri daripada pejabat-pejabat kerajaan, dewan orang ramai, sekolah, maktab perguruan, perpustakaan, rumah rehat kerajaan serta stadium tertutup.

Pilihan raya negeri kali ini turut menyaksikan pertambahan 11 kerusi DUN berikutan persempadanan semula kawasan pilihan raya negeri itu.

Kerusi-kerusi berkenaan adalah Batu Kitang, Stakan, Serembu, Bukit Semuja, Gedong, Kabong, Tellian, Bukit Goram, Murum, Samalaju dan Mulu.

Pilihan raya itu diadakan susulan pembubaran DUN Sarawak pada 11 April.

Jabatan Meteorologi Sarawak meramalkan cuaca mendung dan hujan di beberapa kawasan pantai termasuk di Kuching, Samarahan, Betong, Mukah dan Bintulu.

Menurut jurucakap jabatan itu, suhu dijangka antara 24 dan 35 darjah Celcius.

Dalam pilihan raya negeri kali ini, terdapat 1.14 juta pemilih berdaftar termasuk 1.11 juta pengundi biasa, layak mengundi pada 7 Mei ini.

Selain pengundi biasa, sejumlah 25,022 pengundi awal terdiri daripada anggota tentera dan polis serta pasangan akan turut mengundi pada pengundian awal 3 Mei ini manakala 106 pengundi pos kerana berada di luar negara.

Setakat 5 petang semalam, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkata sebanyak 971 borang pencalonan telah dijual di seluruh Sarawak.

Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 443 borang dijual di pejabat SPR di sini, 178 di Zon Sibu, 172 (Zon Miri), 124 (Zon Kuching) dan 54 borang di Zon Sri Aman.

Dalam pilihan raya negeri 2011, BN memenangi 55 daripada 71 kerusi DUN, dengan DAP menguasai 12 kerusi dan kemudian hilang satu kerusi apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Fong Pau Teck dipecat daripada parti itu ekoran perbalahan dalam parti.

PKR memenangi tiga kerusi manakala satu lagi kerusi dimenangi oleh calon Bebas.

Polis: 20 kawasan dijangka 'panas' sepanjang p'raya S'wak

Sementara itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengenal pasti 20 kawasan yang dijangka 'panas' sepanjang pilihan raya negeri itu.

Justeru itu, Pengarah Jabatan Pengurusan PDRM Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata pihaknya akan memberi lebih perhatian terhadap kawasan-kawasan berkenaan.

"Kita sudah mengambil tindakan awal di kawasan berkenaan, namun berdasarkan pengalaman kita di Sarawak sebelum ini, kami yakin tiada isu besar yang akan berlaku," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan amanat kepada petugas PDRM hari ini.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata kesemua 7,000 pegawai dan anggota PDRM yang akan bertugas sepanjang PRN-11, diberikan kursus dan latihan terutama mengenai peraturan pilihan raya.

"Persiapan sudahpun bermula awal, kita telah mengadakan kursus dan latihan supaya mereka bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan yang berlaku," katanya.

Beliau berkata semua anggotanya sudah bersedia sepenuhnya bagi memastikan kelancaran serta keselamatan orang ramai sepanjang proses pilihan raya negeri kali ini.

Zulkifli berkata PDRM juga telah menyediakan peruntukan berjumlah RM4 juta merangkumi semua aspek termasuk dari segi logistik.

"Peruntukan ini perlu bagi kelancaran tugasan dan memastikan supaya anggota kita berada di semua pusat mengundi di seluruh Sarawak," .

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS