Bersatu Melayu bersatu
ULASAN Jalannya Gerakan Reformasi untuk sampai ke Putrajaya nampaknya lebih sukar berbanding perjuangan bangsa kita untuk mencapai kemerdekaan.
Sejak Umno ditubuhkan pada 1946 sehingga Tanah Melayu merdeka pada 1957, hanya memakan masa 11 tahun. Tetapi daripada tercetus Reformasi 1998, berdirinya PKR pada 1999 sehingga kini sudah melewat lebih 18 tahun.
Selepas 1998, parti-parti oposisi cuba digabungkan beberapa kali. Sejak itu juga undi Melayu terbelah dua. Orang Melayu tidak pernah sepenuhnya menyokong BN, dan tidak sepenuhnya juga menyokong blok parti oposisi.
Sokongan terbesar orang Melayu kepada oposisi berlaku pada PRU 1999. Atas sentimen “mata lebam Anwar”, PAS berjaya menawan Terengganu selain mengekalkan Kelantan. PKR yang ditubuhkan hanya tujuh bulan sebelum PRU adalah parti yang terlalu muda. Tidak ada jentera dan persiapan yang cukup.
Undi Melayu tidak berpihak kepada PKR, sementara DAP boleh dikatakan kecundang. Pemimpin utamanya seperti Lim Kit Siang dan Karpal Singh, kalah.
Dalam dua PRU terakhir iaitu pada tahun 2008 dan 2013, malangnya oposisi masih tidak memperoleh sokongan yang cukup orang Melayu walaupun sudah memperoleh lebih 52 peratus undi popular. Dari kiraan itu, Umno-BN juga gagal mengembalikan majoriti dua-pertiga di Parlimen selain terus gagal menawan kembali Pulau Pinang dan Selangor.
Kali terakhir Melayu dapat disatukan sebulat-bulatnya adalah ketika menentang Malayan Union. Matlamat perjuangan bangsa kita ketika itu hanya satu iaitu demi memerdekakan negara. Memang wujud pelbagai jalur politik sama ada garis kanan dengan tokoh seperti Onn Jaafar; atau garis kiri dengan tokoh seperti Ahmad Boestaman; kaum bangsawan dengan tokoh seperti Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj sehinggalah garis agamawan dengan tokoh seperti Burhanuddin Al-Helmi.
Ideologi banyak, cita-cita sama
Jalur-jalur ideologi yang banyak itu tetap dengan cita-cita yang sama. Tidak ada satu pun garis politik yang tidak menuntut kemerdekaan walaupun masing-masing mempunyai pandangan politik masing-masing.
Onn yang mendirikan Umno itu pun dikritik. Begitu juga dengan Tunku Abdul Rahman. Di mata orang kiri, mereka menganggap Onn dan Tunku Abdul Rahman telah ‘bekerjasama’ dengan penjajah Inggeris. Kubu orang kiri yang berseberangan dengan Onn dan Tunku Abdul Rahman menuntut apa yang mereka sebut sebagai “kemerdekaan yang penuh”.
Kepada orang Melayu, yang pokok adalah merdeka. Tidak ada istilah dan pengertian kemerdekaan yang penuh atau tidak. Yang penting tanah air dan bangsa dapat dibebaskan sebelum akhirnya kita sendirilah yang menentukan jalannya kemerdekaan. Sekiranya difikirkan bahawa wujudnya kemerdekaan yang penuh atau tidak, maka itu akhirnya akan lebih memecah-belahkan dan menguntungkan Inggeris.
Kebijaksanaan begini adalah mustahak dalam menghadapi musuh yang satu. Kebijaksanaan sedemikian yang bermatlamat mengumpul kekuatan pribumi dan warga setanah air juga wujud dalam sejarah perjuangan menuntut kemerdekaan di Indonesia.
Pendiri Nahdatul Ulama (NU), Kiyai Haji Hashim Asya’ari juga pernah bekerjasama dengan Jepun ketika pendudukan Jepun di Pulau Jawa. Beliau adalah seorang ulama yang sangat dihormati. Ketokohannya sehingga menjadikan para kiyai dan ulama seluruh Indonesia datang bertamu menjadikan dia seorang pakar rujuk kepada usaha mencapai kemerdekaan.
Kiyai Haji Hashim juga pernah ditangkap oleh Jepun. Sewaktu dalam tahanan, dia diseksa.
Apabila dibebaskan, anehnya Kiyai Haji Hashim telah memilih untuk berekonsiliasi dengan Jepun. Dia juga meminta agar semua jaringan pondok-pondok agama di seluruh Jawa bersama dengan keputusan itu, iaitu berbaik dengan Jepun.
Fatwa Kiyai Hashim
Di satu saat, dia juga memutuskan agar anak-anak pasantren dilatih oleh tentera Jepun dengan latihan ketenteraan. Setiap sekolah pasantren menghantar sekurang-kurangnya lima murid lelaki yang cukup sihat dan gagah untuk dilatih di bawah Jepun.
Ada yang tidak bersetuju. Termasuk di kalangan anak-anak muridnya sendiri. Kiyai Haji Hashim memendamkan pemikirannya. Dia percaya, dengan jalan bekerjasama dengan Jepun, maka ada asas keperluan perjuangan yang dapat dilakukan—musuh mereka lebih besar akhirnya bukan Jepun, tetapi Belanda yang kembali ke Indonesia selepas perang.
Strategi dan kebijaksanaan Kiyai Haji Hashim itu terbukti benar. Jepun akhirnya kalah dalam Perang Dunia Kedua. Seperti juga di Tanah Melayu, di Indonesia Jepun menyerah kalah.
Pada ketika inilah, Kiyai Haji Hashim mengeluarkan fatwa bahawa warga Indonesia, terutamanya Muslim, tidak boleh lagi membiarkan tanah air dijajah kuasa luar. Rakyat perlu dibebaskan daripada apa jua bentuk kezaliman dan penindasan.
Senjata dan apa sahaja latihan yang dilalui bersama tentera Jepun digunakan oleh anak watan untuk menentang musuh utama mereka, iaitu Belanda. Semua kisah kebijaksanaan Kiyai Haji Hashim itu boleh kita tonton dalam filem berjudul Sang Kiyai yang pernah ditayangkan tiga tahun lalu.
Bersatu adalah jawapan kepada semua soalan kenegaraan. Begitulah hari ini di Malaysia, ketika rakyat dirundung dengan pelbagai masalah, apakah bekerjasama hanya dengan Dr Mahathir Muhamad sebagai sesuatu yang sangat tidak berprinsip? Saya tak fikir begitu. Lebih-lebih lagi, Dr Mahathir bukan Malayan Union; bukan tentera Jepun; bukan Belanda, dan bukan juga Inggeris.
Sepertimana Kiyai Haji Hashim, ramai di kalangan aktivis era Reformasi 1998 sedar bagaimana perih-payah berjuang untuk erti sebuah demokrasi di era Dr Mahathir menjadi perdana menteri dahulu. Bagi saya, ada asas kuat untuk bersama dalam Gerakan Selamatkan Malaysia yang dalamnya ada Dr Mahathir ketika rakyat berhadapan dengan PM yang sedang berkuasa.
Mengungkit dosa Dr M
Dr Mahathir kini umurnya sudah 91. Beliau pernah menjadi PM paling lama iaitu selama 22 tahun. Ya! Apakah dengan mengungkit segunung dosa Dr Mahathir, masalah penderitaan rakyat dapat diselesaikan? Tidak bukan?
Saya tidak mengerti bagaimana mudahnya segelintir orang yang termakan dengan dakyah PM Najib bahawa Dr Mahathir mahu menjadikan anaknya sebagai PM pada waktu ini. Atau, Dr Mahathir mahu projek jambatan bengkok dilaksanakan. Apakah terlalu penting projek jambatan bengkok bagi seorang tua 91 tahun itu?
Semua keraguan yang berulang kali dibangkitkan tidak lebih untuk merenggang dan meretakkan satu gerakan rakyat yang mulai terbentuk. Gerakan tersebut sesungguhnya sangat penting ketika kesepaduan Pakatan Rakyat telah dapat dipecahkan orang dan pihak tertentu. Dengan pecahnya Pakatan Rakyat tempoh hari, yang paling untung tidak lain tidak bukan adalah penguasa yang sekarang bertakhta di Putrajaya.
Oleh itu, perpaduan baru yang lebih kuat wajar digubah segera. Di ketika perpaduan sedang dibentuk inilah, orang Melayu dan rakyat sedang mengenal mana satu tokoh yang mengotakan kata-kata untuk membela rakyat atau hanya untuk menyelamatkan seorang PM secara langsung atau tidak langsung.
Betapa kita memusuhi seorang perdana menteri bukan kerana namanya Najib Razak. Kita memusuhi beliau kerana skandal besar dan kecuaiannya sehingga meletakkan Malaysia dalam keadaan sangat tidak stabil.
Bahaya di depan mata kita bukan sahaja dalam soal ekonomi. Bahaya di depan mata orang Melayu dan rakyat Malaysia adalah apabila di era PM Najib, suara-suara untuk pembebasan dan kemerdekaan wilayah terdengar begitu lantang termasuk menjelang pilihan raya negeri (PRN) Sarawak. Suara itu adalah suara yang akan meleraikan sebuah persekutuan dan menghancurkan sebuah negara yang bernama Malaysia.
Belum pernah di dalam sejarah 53 tahun pembentukan Persekutuan Malaysia, ada hasutan yang jelas-jelas mahukan kemerdekaan sesebuah negeri. Semangat kenegerian telah dibakar melampaui semangat kebangsaan. Semangat kebangsaan nampaknya semakin pudar apabila pimpinan di Putrajaya telah hilang pedoman, dilamun kuasa dan kemewahan.
Tanah air ini adalah harga mati
Dalam sejarahnya, Melayu tidak akan bersatu hanya demi seorang tokoh atau batang tubuh pemimpin tertentu sahaja. Begitulah dengan kehadiran tokoh selantang dan sehebat Anwar Ibrahim yang keluar penjara pada 2004, dalam dua kali PRU selepas itu belum juga dapat menyatukan Melayu secara menyeluruh seperti bangsa ini pernah bersatu melawan penjajah.
Sejarah juga membuktikan bahawa orang Melayu tidak bersatu hanya kerana seorang Onn Jaafar walaupun Onn yang baru sahaja menubuhkan parti untuk orang Melayu, Umno. Melayu juga tidak bersatu kerana Tunku Abdul Rahman, atau kerana Ahmad Boestaman, Burhanuddin Helmi atau sesiapa sahaja. Melayu hanya bersatu apabila bangsa dan tanah airnya terancam.
Selama ini, Melayu telah diam ketika pemimpin kita gagal menyelamatkan Singapura daripada berpisah dari Malaya. Kita juga ingat bagaimana di era Abdullah Ahmad Badawi, Malaysia sekali lagi kehilangan kedaulatannya apabila Pulau Batu Puteh terlepas kepada Singapura.
Apakah kita rela akan kehilangan Sarawak, Sabah, Johor atau mana-mana pun negeri dalam persekutuan Malaysia? Saya fikir, tidak! Malaysia dan tanah air ini adalah harga mati dan tidak boleh ditawar-tawar lagi.
Atas jawapan tidak itu jualah, masanya sudah tiba untuk buat kali kedua dalam sejarahnya bangsa Melayu perlu bersatu untuk menyelamatkan bangsa dan tanah air. Seruan penyatuan ini bukan hanya di kalangan orang parti oposisi sahaja, tetapi sudah tentu di kalangan orang-orang Umno dan PAS, kepada yang berparti dan tidak berparti.
Rasa dendam dan isu tetek bengek harus segera sama sekali diketepi. Kita juga bersedia sekiranya ada seorang dua pemimpin yang menggadai diri bekerjasama pula dengan penguasa. Perpecahan tidak menguntungkan bangsa dan negara. Keputusan wajib dibuat. Bermula dengan keinsafan akan bahaya di depan kita dan nasib bangsa yang kian melarat.
Hanya dengan Melayu bersatu akan dapat pula menyatukan seluruh rakyat Malaysia. Begitulah kebijaksanaan dan peranan terbesar bangsa Melayu ketika menuntut kemerdekaan lebih setengah abad lalu. Atas penyatuan itu jugalah Malaysia boleh duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan segala bangsa-bangsa di dunia.
HASMI HASHIM atau Budi Hekayat seorang penulis lirik dan otai Jalantelawi.

