Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menggesa masyarakat India di Ipoh, Perak agar bertenang dan tidak mencetuskan perbalahan selepas kejadian rumah ibadat mereka dirosakkan semalam.

Khalid berkata,ini kerana suspek seorang pesakit mental yang kini telah dibawa ke Hospital Bahagia di Tanjung Rambutan untuk rawatan.

“Ia dilakukan oleh orang yang tidak siuman.

"Lelaki ini adalah seorang doktor yang dipecat dari hospital Ipoh kerana masalah mental," katanya ketika berucap pada majlis di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi hari ini.

Seorang lelaki semalam dilaporkan memecah masuk sebuah kuil dan mengamuk dengan memecahkan patung-patung yang berada dalam rumah ibadat tersebut.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Abdul Rahim Hanafi mengesahkan suspek yang memecahkan patung di kuil di Jalan Hospital pada petang Ahad tiada kaitan dengan kumpulan militan IS.

Rahim berkata bekas pelajar luar negara berusia 29 tahun itu hanya mengalami gangguan mental, masih mendapat rawatan psikiatr dan juga rekod jenayah.

Rahim berkata suspek dijadual dibawa ke Hospital Bahagia Tanjung Rambutan hari ini untuk pemeriksaan kesihatan mental.