Projek berkaitan 1MDB soalan sulung Mukhriz di DUN
Menteri besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dan pendahulunya Datuk Seri Mukhriz Mahathir hari ini bersemuka di Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas pertukaran jawatan itu dua bulan lalu.
Dalam pertemuan itu, kedua-duanya dilapor bersalaman dan berbual mesra sebelum persidangan bermula, lapor Sinar Harian .
Berdasarkan gambar, Mukhriz kelihatan memakai kot dan tali leher belang-belang, manakala Bashah memakai baju Melayu dan bersongkok.
Mereka juga kelihatan bersalam di tempat duduk Mukhriz, ADUN Ayer Hitam itu.
Persidangan kali ini juga menyaksikan pertukaran tempat duduk antara Bashah dan Mukhriz.
Sementara itu, persidangan hari ini dilaporkan bermula agak ‘panas’ apabila soalan pertama Mukhriz berhubung status terkini Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) dikatakan mempunyai unsur sindiran.
Malah, beliau dilapor mengaitkan projek mega itu dengan isu syarikat pelaburan negara sarat hutang 1MDB.
Mukhriz sebelum ini meletakkan jawatan setelah hilang majoriti anggota DUN. Krisis menteri besar Kedah bermula selepas Bashah mengetuai sidang media mendesak pengunduran Muhriz.
Langkah itu dilihat sebagai reaksi kepada asakan keras berterusan bapa Mukhriz, Tun Dr Mahathir Mohamad kepada kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

