Kelab penyokong hormat keputusan presiden Kafa
Pendirian Tan Sri Annuar Musa untuk tidak mempertahankan jawatan selaku Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) harus dihormati, kata Presiden Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan (kelate.net) Mahizi Mahmood.
Menyifatkan Annuar sebagai 'bapa pembangunan' bola sepak Kelantan, Mahizi berkata presiden Kafa itu telah banyak menabur jasa dalam usaha memartabatkan pasukan berkenaan.
"Beliau meletakkan satu tahap amat tinggi untuk digapai oleh mana-mana presiden Kafa selepas ini.
"Bagaimanapun keputusan beliau untuk mengundurkan diri sebagai presiden Kafa perlu dihormati dan kita perlu mengucapkan terima kasih atas pengorbanan selama ini," katanya kepada Malaysiakini.
Ahad lalu, Annuar mengumumkan beliau tidak akan mempertahankan jawatan itu dalam Mesyuarat Agung Tahunan Kafa yang akan membuat pemilihan barisan kepimpinan baru tahun ini.
Beliau turut mencadangkan agar jawatan itu dipegang oleh pemimpin PAS khususnya Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yaakob.
Sejak menjadi presiden Kafa pada 2007, Annuar muncul sebagai individu yang terbukti berjaya memulihkan lanskap bola sepak negeri itu.
Mahizi berkata, penyokong sendiri sedar jawatan seseorang itu tidak akan kekal selamanya dalam organisasi seperti Kafa.
"Apa yang penyokong mahu ialah pengganti beliau adalah orang yang mampu membawa Kelantan kembali ke puncak dan menjadi pasukan disegani," katanya.
Ditanya mengenai tokoh yang diharap dapat menggantikan Annuar, Mahizi secara peribadinya mencadangkan dua nama iaitu bekas ketua pegawai eksekutif Lotus Team F1, Datuk Zahri Ismail dan Naib Presiden Kafa, Datuk Rosmadi Ismail.
Menurutnya, Zahri bukanlah di kalangan pemimpin Kafa tetapi beliau seorang anak Kelantan yang mempunyai latar belakang korporat yang cemerlang.

