Moody’s: Keingkaran 1MDB jejas usaha negara kurangkan defisit
Keingkaran 1MDB membayar faedah AS$50 juta berikutan pertikaian dengan International Petroleum Investment Corporation milik Abu Dhabi, akan menjejaskan usaha negara untuk mengurangkan defisit dalam bajet, kata agensi penarafan antarabangsa Moody’s.
Moody’s menganggarkan jumlah liabiliti Malaysia berkaitan keingkaran itu pada kira-kira 2.5 peratus daripada keluaran dalam negara kasar, manakala hutang RM42 bilion 1MDB adalah empat peratus daripada KDNK, lapor laman web berita kewangan Nikkei Asian Review.
Walau bagaimanapun, risiko luar jangka adalah "tinggi atau lebih tinggi daripada pendedahan jaminan sebenar kerajaan", Moody’s dipetik sebagai berkata.
"Cross-defaults atau keingkaran silang yang melalui instrumen yang dijamin oleh kerajaan Malaysia, dan juga ganti rugi berkaitan jaminan IPIC menjamin meningkatkan risiko liabiliti negara ini," kata Christian de Guzman, pegawai kanan kredit di Moody’s.
Malaysia berhasrat untuk mencapai sasaran defisit pada 3.1 peratus daripada KDNK tahun ini.
Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menganggarkan pendedahan kerajaan dalam 1MDB pada sekitar RM20 bilion.
1MDB enggan membayar faedah AS$50 juta kepada pemegang bon terbitannya dengan alasan bahawa adalah menjadi tanggungjawab IPIC yang bertindak sebagai penjamin kepada bon bernilai AS$1.5 bilion yang diterbitkan pada 2015 berbuat demikian.
IPIC pada Isnin lalu berkata ia akan menjelaskan bayaran faedah kepada pemegang bon, tetapi memohon ganti rugi sewajarnya yang sepatutnya dibayar kepada IPIC dan anak syarikatnya, Aabar Investment PJS sebagai balasan kerana bertindak sebagai penjamin.
1MDB berkata ia telah membuat pembayaran kepada sebuah firma di British Virgin Island yang berdaftar sebagai Aabar Investment PJS, tetapi IPIC berkata firma tersebut bukan miliknya.
Bloomberg melaporkan bahawa IPIC tidak akan berganjak walaupun keingkaran AS$50 juta itu.

