MyWatch gesa pecat pegawai belasah warga asing
Badan Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch) menggesa pegawai penguatkuasa wanita yang membelasah seorang warga asing baru-baru ini supaya ditamatkan perkhidmatan serta merta.
Pengerusinya, R Sanjeevan berkata, pegawai wanita itu melanggar prosedur operasi standard (SOP) dan telah mencemarkan nama baik jabatan itu apabila bertindak kasar terhadap tahanan.
MyWatch juga meminta ketua pengarah jabatan berkenaan agar segera memberikan respon berkaitan isu itu.
"Tiada dalam mana-mana SOP pihak berkuasa, perlunya tindakan kasar dikenakan ke atas pihak bersalah sekiranya mereka telah memberikan kerjasama yang baik sewaktu siasatan dijalankan.
"Malah kompaun yang dikenakan ke atas pemilik premis juga sudah dilangsaikan," ujarnya dalam satu kenyataan media di Facebook.
Melalui rakaman CCTV, Sanjeevan berkata pegawai wanita itu bertindak kasar ke atas pekerja asing warganegara India yang ditahan kerana tidak mempunyai permit kerja yang sah.
"Tindakan pegawai wanita berkenaan menendang bahagian kemaluan mangsa dan turut memukulnya di bahagian kepala beberapa kali sangat tidak boleh diterima kerana mangsa telah memberikan kerjasama penuh sewaktu serbuan dijalankan," katanya.
Sanjeevan berkata mangsa ketika dihubungi MyWatch di tanah kelahirannya di India menceritakan bahawa dia dipukul kerana tidak boleh bercakap bahasa Melayu.
"Mangsa juga mendakwa turut dibelasah dengan hos paip ketika berada dalam depot jabatan berkenaan.
"Malah apa yang menghairankan ialah jumlah wang yang dicatatkan dalam resit rasmi bayaran kompaun tidak sama dengan jumlah yang telah dibayar oleh majikan mereka," ujarnya.
Menurut Sanjeevan, pihaknya juga bersedia membawa mangsa terbabit ke Malaysia bagi menceritakan apa yang dialaminya ketika dalam tahanan.
Semalam, Malaysiakini melaporkan rakaman video penguatkuasa wanita itu membelasah warga asing berkenaan.
Dalam rakaman yang menjadi viral itu, penguatkuasa terbabit dilihat menendang mangsa dan menumbuknya beberapa kali seperti aksi bertinju.
Rata-rata pengguna internet mengecam perbuatan kasar penguatkuasa itu.
