Dengan kekuatan seramai kira-kira setengah juta anggota, Malaysia sudah bersiap sedia untuk melancarkan gerakan mulai esok bagi menangkap beratus ribu pendatang haram yang masih bersembunyi di negara ini.

Operasi besar-besaran yang dinamakan "Ops Tegas" itu bagi menangkap pendatang haram, yang sebahagian besarnya rakyat Indonesia, juga menandakan berakhirnya tempoh pengampunan yang sudah dua kali dilanjut atas permintaan pihak Jakarta.

Malah, Menteri Hal-Ehwal Dalam Negeri Datuk Azmi Kelantan dilaporkan berkata pendatang haram yang ditahan dalam operasi tersebut, bukan sahaja akan dihadapkan ke mahkamah, tetapi mereka juga tidak akan dibenarkan lagi memasuki negara ini.

Beliau juga memberi amaran, majikan yang menggaji pendatang haram kerana gaji mereka rendah, juga akan ditangkap dan dihukum di bawah undang-undang keras yang diperkenalkan pada tahun 2002.

Operasi ini akan merupakan yang terbesar pernah dilancarkan di Malaysia untuk menghantar pulang pendatang haram dalam tempoh tiga tahun. Operasi yang sama pernah dilancarkan pada 2002 selepas tamat program pengampunan selama empat.

Sebelum program pengampunan diperkenalkan pada bulan Oktober 29 tahun lalu, kerajaan Malaysia menganggarkan terdapat lebih satu juta pekerja haram di negara ini, sebahagian besarnya dari Indonesia, manakala yang lainnya dari Filipina, Burma, Bangladesh, India dan Sri Lanka.

Hampir 400,000 pendatang haram, kebanyakannya rakyat Indonesia, telah meninggalkan negara ini tanpa dikenakan sebarang tindakan, sepanjang tempoh tiga bulan pertama tempoh pengampunan itu.

Bagaimanapun, yang lainnya masih bersembunyi di negara ini dan bekerja di sektor pembinaan, perladangan dan industri perkhidmatan, kerana tiada pekerjaan di negara mereka.

"Operasi Tegas" itu yang membabitkan 500,000 anggota keselamatan dan sukarelawan itu, dikritik oleh badan-badan hak asasi manusia, yang bimbang pendatang terbabit mungkin menjadi mangsa penganiayaan.

Hak asasi manusia

Pihak Indonesia dan Filipina telah meminta kerajaan Malaysia supaya memastikan tidak akan berlaku pelanggaran hak asasi manusia sewaktu operasi tersebut dijalankan nanti.

Awal bulan ini, Amnesty International (AI) menggesa kerajaan Malaysia supaya menghentikan penghantaran pulang pendatang haram kerana bimbang mereka akan berdepan dengan hukuman di negara masing-masing.

Menurut AI, Pendatang dari Burma, Nepal dan dari wilayah Aceh boleh terdedah kepada pelanggaran hak asasi manusia yang serius jika mereka dihantar pulang sewaktu operasi tersebut dilancarkan.

Bagaimanapun, Azmi berkata, pihak kerajaan adalah berperikemanusian dan akan memastikan kebajikan pendatang terbabit akan dilindungi.

"Tiada ada negara lain di dunia ini yang mengadakan program pengampunan sepertimana yang kita lakukan di sini. Kami sentiasa bersikap perikemanusian dengan pendatang tanpa izin," katanya.

"Sebab mengapa kami menghantar mereka pulang, adalah kerana kami mahu mereka datang semula ke negara ini secara sah. Ini adalah amat berperikemanusian," katanya.

Indonesia pula akan menyediakan dua kapal tentera lautnya untuk membawa pulang pendatang haram dari republik itu. Ia juga sudah mewujudkan 11 pusat memproses permit kerja bagi rakyatnya untuk pulang semula bekerja di Malaysia secara sah.

Ahad lalu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dilaporkan berkata proses mengeluarkan permit kerja untuk rakyat Indonesia akan hanya mengambil masa dua hari sahaja untuk disiapkan jika tiada karenah birokrasi.

Kerajaan pula dilaporkan berkata, Malaysia akan terus mengambil pekerja Indonesia selagi mereka berada di negara ini secara sah dan akan memperkenalkan sistem penyimpanan cap jari pekerja asing bagi memastikan tiada pekerja haram di negara ini.

- AFP