Seorang saksi memberitahu Mahkamah Majistret Kuala Lumpur bahawa beliau melihat seorang wanita sedang meniup dan kemudian melontar beberapa belon berwarna kuning pada majlis dihadiri perdana menteri dan isteri, di sebuah kompleks beli belah.

Seorang eksekutif keselamatan di kompleks beli belah itu, Karamjit Singh Shabeg Singh, 53, berkata beliau berada di aras bawah kompleks itu bagi memantau keadaan majlis tersebut sebelum melihat tiga belon jatuh secara berperingkat.

"Pada awalnya, satu belon jatuh di belakang skrin di aras 2, dan apabila belon kedua dan ketiga jatuh, saya kemudian memandang ke atas dan melihat lengan baju merah jambu seorang wanita sedang memegang belon berwarna kuning di aras lima.

"Apabila saya naik ke aras lima saya nampak seorang perempuan sedang meniup belon berwarna kuning yang tertera perkataan 'Democracy' berwarna hitam," katanya pada perbicaraan kes Bilqis Hijjas, 37, yang didakwa berkelakuan dengan cara menghina bertujuan membangkitkan kemarahan sehingga keamanan mungkin terganggu.

Bilqis, seorang penari didakwa melakukan kesalahan itu di pusat beli-belah, di aras 5, Pavilion, Jalan Bukit Bintang, pada 3.15 petang, 31 Ogos tahun lepas mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 yang boleh dikenakan denda maksimum RM100, jika sabit kesalahan.

Ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Norakmal Farhan Aziz, sama ada Karamjit Singh masih boleh mengecam wajah wanita tersebut, saksi itu menunjukkan jari telunjuk ke arah Bilqis yang sedang duduk dalam kandang tertuduh.

Saksi pendakwaan kedua itu berkata beliau kemudian pergi ke arah wanita tersebut dan mengarahkannya berhenti berbuat demikian namun, wanita itu bertanya kepadanya, "You (Awak) nak ke belon ini?"

Beliau kemudian merampas belon kuning yang sedang ditiup oleh Bilqis sebelum menyerahkan belon berkenaan ke bilik gerakan polis bantuan di kompleks beli belah itu.

Karamjit Singh berkata dia merampas belon kuning yang ditiup oleh wanita itu kerana itu adalah tanggungjawabnya, apabila melihat seseorang meniup belon dan mencampakkan belon itu ke bawah, ini bermakna tindakan itu adalah provokasi terhadap seseorang.

"Membawa belon ke dalam kompleks beli belah ini tiada masalah, tetapi meniup belon dan buang ke bawah, perbuatan itu boleh menimbulkan masalah dan isu. Isu yang saya maksudkan adalah, ada Perhimpunan Bersih 4 di kawasan Bukit Bintang dan peserta perhimpunan itu memakai baju kuning 'Bersih'. Pada masa sama wanita itu memakai baju kuning di dalamnya.

"Tambahan pula sedang berlangsung suatu majlis yang dihadiri oleh perdana menteri. Dalam fikiran saya, wanita itu memakai baju kuning di dalamnya, mungkin untuk provokasi. Kita sedia maklum, acara yang ada belon, bukan hanya satu warna belon dilepaskan tetapi macam-macam warna belon," katanya.

Perbicaraan di hadapan Majistret Mohd Faizal Ismail bersambung 5 Mei.

-Bernama