Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Gerai di kafeteria fakulti komunikasi UiTM terbakar
Diterbitkan:  Apr 27, 2016 7:00 PM
Dikemaskini: 11:08 AM

Orang ramai dan pekerja yang berada di kafeteria Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Shah Alam panik apabila sebuah gerai di kafeteria itu terbakar pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 8 pagi itu, asap akibat kebakaran memenuhi kafeteria yang terletak di aras bawah bangunan berkenaan menyebabkan mereka bergegas keluar menyelamatkan diri.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Mohd Sani Harul berkata kebakaran bermula dari dapur gerai berkenaan yang menjual kuih-muih. Bagaimanapun ia dipadamkan segera oleh sistem pemercik air (sprinkler).

"Pada masa sama, beberapa pekerja di situ turut menggunakan hos pemadam api untuk memadamkan kebakaran," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Sani, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 8.15 pagi dan setibanya anggota bomba di sana, api telah dipadamkan.

Beliau berkata anggota bomba kemudian membuat pemeriksaan dan memadamkan bara yang masih ada.

"Gerai yang terlibat terbakar kira-kira 50 peratus dan tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS