Umno Tganu batalkan debat dengan PAS
Umno Terengganu membatalkan debat dengan PAS mengenai isu cukai pintu kerana mendakwa parti pembangkang itu "gagal menjawab cadangan mengenai tarikh, tempat, format serta masa debat itu hendak diadakan".
Umno Terengganu membatalkan debat dengan PAS mengenai isu cukai pintu kerana mendakwa parti pembangkang itu "gagal menjawab cadangan mengenai tarikh, tempat, format serta masa debat itu hendak diadakan".
Serentak dengan itu, Ketua Penerangan Umno Terengganu, Ahmad Shabery Cheek menuduh Ketua Penerangan PAS Terengganu, Yahya Ali yang didakwanya bersikap sambil lewa menjadi faktor utama kepada pembatalan debat tersebut.
Beliau berkata, Yahya gagal menjawab cadangan mengenai masa, tempat dan format dalam masa yang ditetapkan iaitu selewat-lewatnya pada jam 12 tengahari semalam (27 Februari).
Dalam pertemuan pertama pada 6 Februari lalu, Umno telah besemuka dengan Yahya dan mencadangkan 13 Mac sebagai tarikh debat tetapi beliau tidak memberi apa-apa jawapan.
"Dua minggu kemudian, iaitu pada 20 Februari, kami menghantar sepucuk surat mengenai perkara yang sama dan meminta beliau memberikan jawapan selewat-lewatnya semalam. Bagaimanapun, beliau gagal menjawab," kata Ahmad Shabery dalam satu kenyataan kepada malaysiakini hari ini.
Beliau berkata, masa tiga minggu yang diberikan kepada pihak PAS, sudah lebih daripada mencukupi bagi parti itu membuat pertimbangan.
Sikap sambil lewa
Berikutan kegagalan PAS itu, beliau berkata pihaknya memutuskan tidak akan melayani apa-apa lagi dari pihak parti itu mengenai cadangan debat tersebut.
"Bagi kami, sukar untuk berurusan dengan pihak yang bersikap sambil lewa kerana penganjuran debat yang sebegini penting memerlukan kesungguhan dan disiplin dari semua pihak," katanya.
Ahmad Shabery berkata, PAS telah gagal dalam debat ini dan "mereka telah terlepas peluang keemasan untuk diberi penghormatan duduk di pentas yang sama dengan Umno dengan cara yang lebih bertamadun dan teratur".
Beliau mengharapkan PAS tidak lagi menjaja isu cukai pintu di kampung-kampung untuk menarik perhatian orang ramai dan untuk kepentingan politik mereka.
Bagaimanapun, Yahya ketika dihubungi berkata, Ahmad Shabery sengaja mereka cerita bertujuan untuk mencari helah bagi membatalkan debat tersebut.
Katanya, wakil PAS menghantar surat kepada Pejabat Perhubungan Umno di Kuala Terengganu sekitar jam 12.30 tengahari semalam dan diterima oleh Setiausaha Kerja Umno, Adam Sulong.
Hanya alasan
Beliau berkata, bagaimanapun 30 minit kemudian Adam memberi semula surat tersebut kepada wakil PAS dengan mendakwa surat tidak boleh diterima kerana sudah melebihi masa yang ditetapkan.
"Ini alasan yang sangat dangkal kerana surat tersebut hanya meminta Ahmad Shabery menjawab mengapa debat perlu diadakan di Kompleks Seri Iman dan bukannya di Stadium Sultan Ismail?
"Mengapa perlu dihadkan penyokong kepada 500 orang dan tidak kepada semua rakyat Terengganu dan mengapa hanya dua orang penyoal sedangkan permintaan PAS ialah sesiapapun bebas membuat pertanyaan," katanya.
Yahya berkata, Ahmad Shabery sengaja mencari alasan supaya debat tersebut dibatalkan kerana tidak mahu berdepan dengan PAS.
Isu debat di antara PAS dan Umno mengenai cukai pintu tercetus apabila Ahmad Shabery menuduh PAS tidak mengutip cukai pintu semasa memerintah negeri itu pada tahun 1999 hingga 2004 untuk kepentingan politik mereka.

