Pendatang cuba guna nama UNHCR untuk elak ditahan
Ada pendatang tanpa izin yang cuba menggunakan nama Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) untuk mengelak ditahan oleh pihak berkuasa yang melancarkan "Ops Tegas" mulai tengah malam tadi.
Ada pendatang tanpa izin yang cuba menggunakan nama Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) untuk mengelak ditahan oleh pihak berkuasa yang melancarkan "Ops Tegas" mulai tengah malam tadi.
Menurut Ketua Unit Penguatkuasa Imigresen Wilayah Persekutuan Mohd Radzi Hussin, dalam serbuan yang dilancarkan di sebuah tapak pembinaan di Cheras awal pagi tadi, 29 warga asing yang diperiksa mendakwa mereka mendapat perlindungan daripada UNHCR.
Menurut laporan
Bernama
, beliau berkata, selepas pemeriksaan dibuat, hanya dua orang sahaja yang mempunyai surat yang sah daripada pesuruhjaya tersebut.
Katanya, dalam pemeriksaan di tapak pembinaan di Cheras itu, seramai 62 pendatang tanpa izin, termasuk enam wanita ditahan semasa pemeriksaan dilakukan terhadap 270 warga asing selepas pihaknya memeriksa 270 warga asing yang bekerja di situ.
Mohd Radzi berkata, 30 daripada mereka ditahan kerana tidak mempunyai dokumen manakala lima menggunakan permit palsu.
Mereka yang tidak mempunyai pasport dihantar ke depoh tahanan sementara di Semenyih untuk tindakan selanjutnya.
"Kita akan membuat laporan polis dan seterusnya akan menahan mereka selewat-lewatnya dua minggu sebelum kita membuat keputusan sama ada menghantar mereka pulang atau mengambil tindakan undang-undang," katanya kepada pemberita di tempat operasi.
Gerakan bersepadu
Pendatang tanpa izin yang tidak pulang selepas tamat tempoh pengampunan tengah malam tadi akan diburu dalam Ops Tegas yang dilancarkan secara besar-besaran mulai hari ini.
Mereka yang diberkas akan diharamkan terus daripada memasuki Malaysia, termasuk sebagai pelancong.
Gerakan menjejaki pendatang tanpa izin itu dilancarkan secara bersepadu di Kuala Lumpur, melibatkan lebih 500 anggota Rela, Polis, Imigresen dan Rukun Tetangga.
Sepuluh lori dan enam bas digunakan oleh pasukan penguatkuasa dalam gerakan itu berikutan berakhirnya tempoh pengampunan semalam.
Pasukan itu bergerak keluar secara konvoi dari Ibu Pejabat Rela di Kampung Baru pada kira-kira pukul 1 pagi dan operasi berakhir pada kira-kira jam3.30 pagi.
Sementara itu Ketua Pengarah Rela Datuk Mahadi Arshad yang ditemui di tempat operasi berkata beliau terkejut kerana masih ramai pendatang tanpa izin yang tidak mengambil kesempatan daripada program pengampunan itu untuk pulang.
"Kita terpaksa mengambil tindakan kepada mereka masih berdegil ini setelah diberikan tempoh yang mencukupi," katanya.
Menyentuh tentang beberapa orang yang ditahan mendakwa mendapat perlindungan UNHCR, beliau berkata sekiranya terdapat bukti yang sah, mereka akan dilepaskan, katanya.

