'Mualaf mungkin tak dikena tindakan jika ada alasan kukuh'
Perintah Mahkamah Persekutuan bagi menangkap mualaf Mohd Ridhuan Abdullah mungkin tidak menyaksikan dia dipenjarakan, kata peguam.
Mahkamah Persekutuan semalam mendapati perintah komital terhadap Ridhuan sebagai berasas kerana beliau gagal membawa anaknya, Prasana Diksa, kepada bidang kuasa mahkamah apabila diarahkan.
Mahkamah tertinggi itu mengarahkan Mahkamah Tinggi Ipoh untuk memantau penangkapan dan polis melaksanakan waran itu.
Bagaimanapun presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) Musa Awang berkata waran tangkap itu bukan bermakna Ridhuan akan dipenjarakan.
"Waran itu adalah hanya untuk memanggil Ridhuan di mahkamah dan kemudian memberi sebab mengapa dia tidak mematuhi perintah mahkamah.
"Dia boleh mengemukakan sebab mengapa beliau berpendapat tidak sesuai untuk kanak-kanak itu jika mahu berada dengan bekas isteri," kata Musa kepada Malaysiakini.
Sekiranya Ridhuan dapat memberikan alasan kukuh, dia mungkin tidak dikenakan tindakan, kata Musa.
Kanak-kanak perlu memilih
Memetik Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Perak), Musa berkata anak perempuan boleh memilih untuk tinggal bersama ibu atau bapa selepas berumur sembilan tahun.
Prasana, bagaimanapun, masih belum diminta oleh mahkamah untuk membuat pilihan kerana baru berusia lapan tahun.
"Mungkin selepas kanak-kanak itu berusia sembilan tahun, dia boleh memilih untuk tinggal dengan sama ada ibu atau bapa.
"Tetapi ia juga bergantung kepada sama ada ibu bapa yang dipilih boleh memastikan kebajikannya. Jika dia memilih sama ada ibu atau bapa dan mahkamah tidak fikir bahawa ibu bapanya boleh menjaganya, mereka mungkin tidak akan memberikan hak penjagaan kepada ibu bapa itu.
"Tetapi saya berpendapat bahawa hak perlu diberikan kepada kanak-kanak itu untuk membuat pilihan," kata Musa.

