Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini menegaskan tidak akan menulis surat rayuan kepada Tan Sri Adenan Satem untuk membantu pembangkang berkempen di Sarawak sebaliknya akan berkunjung ke negeri ini seperti biasa.

"Mengapa saya perlu merayu? Ia (pergi ke Sarawak) adalah hak saya sebagai rakyat Malaysia untuk pergi ke mana-mana dalam negara," katanya kepada media selepas merasmikan perhimpunan Hari Buruh anjuran Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia di Subang Jaya hari ini.

Kata Azmin pendirian Adenan sekadar menunjukkan keangkuhan Ketua Menteri Sarawak itu.

"Ia penghinaan kepada ahli parlimen, rakyat Malaysia untuk mengunjungi mana-mana tempat dalam negara," katanya.

Melalui kenyataan pejabatnya semalam Adenan menyatakan kesesiaan mempertimbangkan tempoh lanjutan kepada Azmin dan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng di Sarawak.

Jumaat lalu kedua-dua mereka sebelum ini dibenarkan masuk ke Sarawak untuk berkempen membantu parti pembangkang dalam pilihan raya negeri yang dijadual diadakan pada 7 Mei ini.

Zahir wajah sebenar

Bagaimanapun kerajaan negeri hanya memberi kebenaran terhad kepada Azmin - yang mesti keluar sebelum 2 Mei - dan Lim - sehingga 5 Mei.

Semalam Azmin berkata keputusan Adenan untuk membuat pertimbangan jika mendapat permohonan rasmi daripada dua pemimpin kerajaan negeri itu sebagai tidak menghormati kedudukan menteri besar serta ketua menteri.

"Saya maklum sekarang ini merupakan musim pilihan raya. Maka dalam politik, seorang ketua perlu melakukan apa-apa jua tindakan yang dibenarkan undang-undang bagi memastikan kemenangan partinya.

"Namun, pendirian bongkak lagi angkuh Tan Sri Adnan Satem ini melangkaui batas dan menzahirkan wajah sebenarnya sebagai pemimpin yang menggunakan kuasa eksekutifnya secara melulu," kata Azmin dalam kenyataan medianya.

Mengenai penegasan Adenan terhadap autonomi Sarawak, Azmin yang juga timbalan presiden PKR berkata kuasa itu perlu dilaksanakan untuk mendapatkan hak rakyat Sarawak.

Sebagai contoh, katanya, mendapatkan pengecualian pelaksanaan cukai barangan (GST) dan perkhidmatan untuk rakyat Sarawak.

"(Pihak) yang mengkhianati rakyat Sarawak bukan PKR tetapi 25 anggota parlimen BN yang menyokong (usul) pelaksanaan GST di parlimen.

"Sebab itu saya cakap semalam, di Sarawak mereka minta undi, tetapi apabila sudah menang, (mereka) tinggalkan rakyat sehingga menyebabkan rakyat menderita.

"Orang sebegini yang sepatutnya diambil tindakan. Kami menyokong dan memperjuangkan hak rakyat di Sarawak itu sendiri," katanya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS