120 GRO DITAHAN DALAM OP NODA DI KL
Seramai 120 wanita dipercayai pelayan pelanggan (GRO) warga asing ditahan dalam Op Noda di enam premis hiburan di sekitar Kuala Lumpur awal pagi tadi.
Dalam operasi selama enam jam bermula 10.30 malam dijalankan Unit Tindakan Khas Jenayah Terancang, Skuad Taktikal 3 Perjudian/Maksiat/Kongsi Gelap (STAGG) Bukit Aman itu, seramai 22 lelaki dan seorang wanita dipercayai penjaga premis turut ditahan.
Ketua Penolong Pengarahnya SAC Khairi Ahrasa berkata kesemua yang ditahan itu berusia 24 hingga 51 tahun.
"Wanita warga asing yang ditahan adalah dari Vietnam, China, Thailand, Filipina dan Indonesia kerana melakukan kesalahan antaranya menyalahgunakan pas lawatan sosial," katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata modus operandi premis-premis hiburan itu adalah menawarkan perkhidmatan GRO dan mereka boleh dibawa keluar untuk melakukan hubungan seks atas permintaan pelanggan.
"Pelanggan dikenakan bayaran antara RM130 hingga RM220 untuk menggunakan khidmat mereka," katanya.
Khairi berkata polis turut merampas wang tunai berjumlah RM5,46 dan pelbagai peralatan hiburan dalam operasi itu.
Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 39(B) Peraturan Imigresen 1963, Seksyen 55B Akta Imigresen 1963 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1963.
- Bernama
