Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ahmad Razif kekal MB T'ganu - Najib
Diterbitkan:  May 1, 2016 2:25 PM
Dikemaskini: 6:28 AM

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata Ahmad Razif Abdul Rahman kekal sebagai Menteri Besar Terengganu dan akan menjalankan tugas seperti biasa.

Najib berkata, keputusan itu dibuat selepas beliau menghadap Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin semalam untuk membincangkan isu mengenai kedudukan Menteri Besar.

"Hasil dan kesimpulan majlis menghadap itu, maka saya ingin maklum MB (Menteri Besar) Terengganu Ahmad Razif kekal sebagai MB Terengganu dan akan terus jalankan tugas beliau seperti biasa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2016 di Dewan Tun Razak, Pusat Dagangan Dunia Putra, hari ini.

"Maka dengan pengumuman ini, saya berharap tiada lagi sebarang persoalan dan andaian mengenai kedudukan beliau (Ahmad Razif), saya anggap isu kepimpinan negeri ini selesai," katanya.

Ditanya mengenai pelucutan darjah kebesaran yang dikurniakan kepada Ahmad Razif, Najib berkata:" itu hak sultan (Sultan Mizan), (saya) tak masuk campur, itu dalam Perlembagaan dan kuasa sultan".

Sultan Mizan telah melucutkan semua darjah kebesaran yang dikurniakan kepada Ahmad Razif, berkuat kuasa pada 22 April lalu.

Perkara itu dimaklumkan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu pada 25 April lepas.

Sebelum ini, Ahmad Razif dikurniakan Darjah Dato’ Paduka Mahkota Terengganu Kehormat (DPMT) yang membawa gelaran Datuk pada 2012 dan Seri Setia Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZ) yang membawa gelaran Datuk Seri pada April 2015.

Ahmad Razif yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu menggantikan Datuk Seri Ahmad Said pada 12 Mei 2014.

- Bernama

Lihat Komen
ADS