Lim: Saya takkan tunggu hingga diheret keluar
Lim Guan Eng berkata beliau tidak akan melanggar kebenaran berada di negeri itu yang dikenakan terhadapnya oleh kerajaan Sarawak.
Ketua Menteri Pulau Pinang itu bercadang keluar dari bumi kenyalang esok, sehari lebih awal daripada tarikh akhir dikenakan padanya.
Ditanya bila akan kembali, setiausaha agung DAP berkata perkara itu mungkin tidak akan berlaku.
“Sebagai tanda hormat kepada autonom Sarawak, saya tidak akan buat polis tangkap dan heret saya keluar (dari Sarawak),” katanya.
Lim berkata demikian dalam sidang media pagi ini bersama empat calon DAP di Sibu sebelum acara 'Sembang Kopitiam'.
Lim dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali diberikan kebenaran terhad masuk ke Sarawak bagi membantu kempen pembangkang dalam pilihan raya negeri 7 Mei ini.
Azmin dikendaki keluar dari negeri itu pada 2 Mei manakala Lim pula sehingga 5 Mei.
Sarawak mempunyai kuasa menyekat kemasukan mana-mana individu daripada semenanjung. Bagaimanapun tindakan itu dikritik pembangkang sebagai angkuh dan menyalahgunakan kuasa.

