Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Memang telah dijangkakan media Cina seperti pertubuhan media lain, akan memberikan liputan meluas, apabila Tan Sri Adenan Satem mengambil alih jawatan Ketua Menteri dua tahun lepas.

Tetapi apa yang tidak dijangkakan ialah tumpuan yang belum pernah terjadi sebelum ini yang diberikan oleh empat akhbar harian Cina kepada beliau, dengan menjadikannya bahan utama berita mereka.

Apabila jelas bagi mereka bahawa individu yang menerajui negeri ini bersimpati terhadap aspirasi masyarakat itu, mereka bersaing sesama sendiri, dengan memberi ruang menyiarkan kata-kata dan tindakannya.

Semasa Adenan mengumumkan pada September tahun lepas bahawa kerajaan negeri telah memutuskan untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), mereka menyiarkan berita itu di bawah tajuk utama.

Pengarang Berita International Times Chin Sau Leong berkata Adenan menjadi tajuk berita dalam media tempatan, termasuk akhbar-akhbar Cina, dengan kenyataannya memerangi rasuah dan pembalakan haram, nepotisme, kronisme dan ekstremis agama.

Beliau berkata pengumuman Adenan mengenai peruntukan sejumlah RM3 juta kepada sekolah persendirian Cina dan tentunya pengiktirafan terhadap UEC telah diberi liputan meluas.

Chin berkata liputan hebat yang diberikan akhbar Cina kepada Adenan tidak pernah berlaku sebelum ini.

Katanya pendekatan dan dasar ketua menteri itu telah menarik perhatian masyarakat Cina.

“Adenan mengamalkan prinsip kata dikota. Beliau ikhlas dalam melakukan perubahan penting di negeri ini," kata Chin.

Ketua Pemberita edisi Sin Chew Daily Sarawak Leslie Chin Yik Soon berkata akhbar telah memberikan Tok Nan, nama gelarannya, liputan yang baik dan adil beserta banyak gambar dan ulasan.

Berita mengenai peruntukan kepada sekolah persendirian Cina dan pengiktirafan terhadap UEC adalah antara berita yang paling disambut baik masyarakat Cina, katanya.

Sokongan terhadap BN

Ditanya mengenai peralihan sokongan masyarakat Cina terhadap Barisan Nasional, Chin berkata: "Sudah tentu ada perubahan. Tetapi besar mana perubahan itu adalah terlalu awal untuk dipastikan."

"Orang ramai menyambut baik dan menghargai dasar Adenan. Sama ada ia akan diterjemahkan menjadi undi, kita tunggu dan lihat."

Seorang wartawan dengan sebuah lagi akhbar harian Cina berkata Adenan sering menjadi bahan baik berita untuk media kerana dasar-dasarnya.

“Kata-kata dan tindakannya lantang dan tegas. Sentimen terhadapnya amat baik. Dasar-dasar yang diperkenal dan diumumkan Adenan disambut baik oleh penduduk Sarawak. Populariti beliau kini sedang memuncak," kata seorang wartawan yang enggan dinamakan.

“Berita mengenai beliau sering menambat perhatian dan oleh itu beritanya sentiasa mendapat liputan meluas. Secara keseluruhannya liputan media bagi ketua menteri dalam media cetak dan dalam talian adalah luar biasa. Berita berkaitan beliau sering menjadi berita baik dalam media."

Selepas seminggu berkempen, wartawan masih enggan meramalkan sama ada kaum Cina akan kembali menyokong BN.

“Pengundi Cina amat sukar untuk diramal, pembangkang masih kuat di kawasan bandar," katanya, tetapi berdasarkan populariti Adenan, akan ada undi untuk BN walaupun ia bakal berdepan tentangan sengit pembangkang.

-Bernama

Lihat Komen
ADS