Isa mahu setinggan Kampung Sungai Udang berpindah segera
Penduduk setinggan Kampung Sungai Udang, Segambut, Kuala Lumpur diarah berpindah segera kerana kerajaan tidak akan menangguhkan projek pembinaan tebatan banjir di kampung tersebut.
Penduduk setinggan Kampung Sungai Udang, Segambut, Kuala Lumpur diarah berpindah segera kerana kerajaan tidak akan menangguhkan projek pembinaan tebatan banjir di kampung tersebut.
Menteri Pembangunan Wilayah Persekutuan, Tan Sri Isa Samad berkata, kerajaan terpaksa membayar kadar faedah yang tinggi kepada Bank Pembangunan Asia (ADB) jika menangguhkan projek itu.
"Kementerian tidak dapat memenuhi permintaan penduduk untuk terus tinggal di kawasan setinggan di Kampung Sungai Udang. Kami akan merobohkan penempatan mereka jika berdegil," katanya semalam selepas menemui rombongan penduduk Kampung Sungai Udang yang mahukan mereka diberi masa untuk tinggal di situ.
Beliau berkata, pencerobohan penempatan setinggan juga selaras dengan matlamat kerajaan untuk menghapuskan setinggan di Lembah Kelang.
Isa bagaimanapun, tidak menjelaskan bila tarikh akhir pemindahan tersebut tetapi meminta mereka berbuat demikian secepat mungkin.
Beliau juga tidak berjanji untuk memberikan penduduk rumah pangsa Taman Cuepacs, bersebelahan Kampung Sungai Udang yang sedang dalam pembinaan.
Katanya, beliau akan mendapat maklumat daripada pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sama ada rumah itu dibina untuk Projek Perumahan Rakyat (PPR) DBKL.
"Dalam mesyuarat mingguan kementerian, saya tidak pernah diberitahu tentang projek Taman Cuepacs itu. Saya tidak boleh membuat keputusan sekarang," katanya lagi.
Sewa bulanan
Bagaimanapun, Isa meminta penduduk menerima tawaran DBKL supaya berpindah ke PPR Jinjang kerana projek perumahan tersebut sudah siap sepenuhnya dan sewa bulanan hanya RM124 sebulan.
"Jika tidak mereka boleh memilih tempat lain," katanya.
Mengenai permintaan penduduk untuk membeli rumah PPR, Isa berkata, ia tidak boleh dijual kerana ia dibina hanya untuk disewa.
Beliau berkata, PPR adalah program bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menghapuskan setinggan di Lembah kelang.
Katanya, projek PPR menggunakan wang dari Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dan kini mempunyai antara tujuh ribu dan lapan ribu yang dibina khusus untuk penempatan setinggan.
Menurut Isa, DBKL banyak kali mengeluarkan notis permindahan kepada penduduk setinggan Kampung Sungai Udang dan kali terakhir pada bulan Ogos lalu.
"Mereka mempunyai masa mencukupi untuk berpindah, malangnya mereka tidak mahu. Jangan salahkan DBKL jika kami merobohkan penempatan mereka," katanya.
Beliau berkata, Pengerusi Jawatankuasa Setinggan Kebangsaan, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Timbalan Perdana Menteri mengarahkan kementeriannya menghapuskan setinggan di Kuala Lumpur secepat mungkin.

